UIAM menang lapan anugerah, pingat di Taipei
Khamis, Oktober 29, 2009
ENAM daripada sembilan hasil penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memenangi anugerah dan pingat pada Taiwan International Invention Show and Technomart Ke-5 di Taipei, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, dua meraih anugerah khas, tiga pingat emas, satu perak dan dua lagi gangsa.
Emas diraih menerusi produk Effect Electron Beam Irradiation on the Properties of Natural Rubber/Carbon Nanotube Nanocomposite, Stability and Thermal Conductivity Enhancement of CNT Nano Fluids Using Gum Arabic dan Cellulases From Sewage Sludge.
Produk itu masing-masing ciptaan penyelidik Kulliyyah Kejuruteraan yang juga Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi UIAM, Prof Dr Ahmad Faris Ismail dan Prof Madya Dr Zahangir Alam.
Perak dimenangi menerusi Prof Madya Dr Iis Sopyan yang mempertaruhkan produk High Performance TiO2 Powder Photocatalyst for Efficient Solar Energy Conversion.
Dua produk meraih gangsa ialah Magnesium Containing Calcium Phosphate Microcarrier for High Density Cell Culture dan Biodiesel From Sludge Palm Oli, masing-masing oleh Zahangir dan Iis Sopyan.
Dua anugerah, Foreign Friendship dan Polish Inventors and Rationalizers President of Association diperoleh menerusi produk Effect Electron Beam Irradiation on the Properties of Natural Rubber/Carbon Nanotube Nanocomposite ciptaan Ahmad Faris.
Pameran berlangsung di Dewan Pusat Perdagangan Dunia Taiwan itu berjaya mengetengahkan inovasi dan produk terkini dalam pelbagai bidang merangkumi bioteknologi, penjagaan kesihatan dan kejuruteraan.
Penganjuran pameran itu turut menjadi platform mewujudkan strategi pemasaran dan perniagaan berikutan kebanyakan produk dipamerkan berimpak tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan.
sumber : Berita Harian Online 29 Oktober 2009













