Rabu, Februari 20, 2008

MUDA MUDI ZAMAN INI

Percikan sinar matamu singgah di hati

Bergetar bibirku bisu sukar mengerti

Pantasnya diri tertawan

Tak sempat berkelip aku kau punya


'Sembunyi"... Lagu duet antara Misha Omar dan Andy Flop Poppy. Salah satu lagu yang tersenarai dalam Anugerah Muzik-Muzik ke 23 baru-baru ini. Itu semua orang tahu. Kenapa saya quote rangkap ini?


Persoalan yang ingin saya kupas kali ini. Industri hiburan di Malaysia sememangnya sudah maju, dengan perubahan dari segi jenis-jenis lagu yang dibawa, kesemuanya boleh dikatakan diimport dari luar, khususnya Barat. Sehingga tak sedar Malaysia sudah mengalami transformasi menjadi sebuah negara yang terlalu mementingkan hiburan, hingga timbul pula istilah HEDONISME. Kita asyik diulit lagu-lagu yang membuai perasaan, hinggakan awan yang dapat dilepasi oleh Dr Sheikh Muszaphar itu pun kita capai. Tak perlu nak pergi latihan untuk menjadi angkasawan. Agak tinggi majaz yang saya gunakan.


Baiklah, berbalik kepada rangkap lagu di atas. Bait yang pertama memberi tafsiran bahawa panahan iblis telahpun mengenai sasaran. Sehinggakan berjaya menggetarkan hati seorang wanita Saya lebih tertarik dengan dua baris terakhir. Betapa pantasnya hati seorang wanita untuk dimiliki. Tak sampai sekelipan mata, hatinya telah ditawan seorang lelaki yang 'memanah' dengan pandangan mata. Hmm.. Semudah begitu rupanya. Rangkap lagu ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa begitu mudahnya untuk menjalin hubungan cinta di antara muda-mudi di Malaysia kala ini. Apa tidaknya, dengan pandangan (dengan niat menggoda) seorang lelaki, begitu mudah untuk seseorang wanita itu tertawan. Hanya dengan pandangan mata!


Hakikatnya kita perlu sedar bahawa liril-lirik lagu seperti ini umpama bius yang disuntik ke dalam diri. Selepas dibius, kita dah tak sedar apa-apa. Selepas mendengar lagu-lagu seperti ini, kita pun bertambah leka dan makin tak sedar akan bahaya situasi tersebut. Inilah yang sebenarnya menjadi awalan kepada satu perhubungan yang tidak dirahmati Allah. Seterusnya membawa kepada maksiat.


Allah berfirman dalam Al-Quran : Dan janganlah kamu menghampiri zina.

Namun, adalah suatu yang pelik jika seseorang remaja zaman ini tidak mempunyai pasangan cintanya. Ataupun lebih mudah disebut 'couple'. Cubalah tanya muda mudi yang anda temui di mana-mana pun, hampir kesemuanya sudah 'berpunya'.

Bukanlah mempunyai teman istimewa itu sesuatu yang salah. Setiap dari kita punya hati dan perasaan, punya keinginan untuk disayangi jua menyayangi. Tapi hakikat dan realiti hidup pada masa kini tidak memungkinkan sesuatu hubungan yang dijalin itu untuk berakhir dengan ikatan yang sah, iaitu perkahwinan. Itulah tujuan mencari pasangan bukan? Jika bukan, itu tidak termasuk dalam maksud artikel ini.

Kalaulah sekalipun hubungan itu memang dirasakan akan berakhir dengan perkahwinan, terlalu banyak halangan dan dugaan yang perlu dihadapi untuk ke tahap itu. Memanglah saat-saat percintaan itu indah, sehinggakan Qaisy jadi gila kerana terlalu rindukan Laila. Sehinggakan Aishwarya Rai (dalam cerita Mohabbatein la) sanggup terjun dari tingkat atas rumah kerana putus cinta dengan SRK. See, the power of love!

Namun sahabat-sahabat sekalian, hakikat dunia percintaan penuh onak dan duri. Jika tak mampu mengelak untuk terlibat dalam hubungan ini, cubalah untuk sedaya upaya mengawalnya dengan baik. Kemudilah ia dengan iman jua rasa takut pada Allah. Kerana belum tentu sesuatu hubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan. Adakah kita sangat pasti bahawa si dia akan menjadi hak milik kekal kita suatu hari nanti? Dengan harapan akan melangkah ke alam perkahwinan? Jika anda benar-benar pasti, mengapa ada saja pasangan pengantin yang tidak dapat disatukan, mungkin disebabkan maut? Mungkin jua ada yang putus di pertengahan jalan? Ada pula yang ditinggalkan?

Jika ada benanrnya kata-kata ini, fikirkanlah...

Jumaat, Februari 01, 2008

sehari di Central Market

Hari Ahad bersamaan 27 Januari 2008, saya berkesempatan ke Central Market (CM) untuk satu program yang dinamakan 'One Trip Doing Da'wah' anjuran Women Affairs Association (WAFA) IIUM. Setelah penat menunggu sarapan tiba, kami pun bersarapan dengan segera kerana waktu tu jam dah pun menunjukkan pukul 8. Sepatutnya itu masa kami bertolak. Tapi tak mengapalah, lagipun belumlah tersasar jauh dari waktu yg dijadualkan.

Setibanya di CM, ketika itu belumlah ramai lagi manusia-manusia yang kedapatan di sana. Biasalah, belum pukul 10 pagi pun lagi.. Tapi itu tak jadi masalah, kami pun membahagikan pamphlet-pamphlet yang akan diedarkan sesama kami mengikut kumpulan yang ditetapkan oleh Chef De Mission pada hari itu, Kak Syam. Sebenarnya tujuan kami ke sana nak sebarkan pamphlet-pamphlet yang di dalamnya ada sedikit ilmu dan peringatan yang nak dikongsi dengan masyarakat di luar sana, terutamanya yang bergelar Muslimah. Berbekalkan azam serta mungkin sedikit perasaan bimbang, kami pun berpecah menuju dua tempat. Satu kumpulan di CM, satu lagi di Pudu.

Misi pun bermula. Tidak susah. Bila saya buka langkah, saya dah dapat nampak beberapa orang kakak-kakak kita yang duduk menunggu di depan kedai-kedai di CM tu. Pamphlet pertama diberi, alhamdulillah diterima dengan baik. Begitu juga dengan yang kedua. Tapi yang tak disangka, pamphlet ketiga pula, saya kena bagi pada seorang kakak ni. Allah, nak bagi ke tak ye? Kakak itu sedang dok ralit (ikut kata orang Kedah) 'menelek' muka boyfriend dia. Astaghfirullah, hati saya terkejut! Mana tidaknya, perlakuan itu di tengah-tengah orang. Yang menambahkan sebal di hati saya, kakak tu bertudung. Agaknya situasi ini masih dianggap okey bagi orang lain. Mungkin saya yang benar-benar terpanar melihat adegan itu sebab pertama kali tengok dengan mata sendiri. Saya memaniskan muka, beri salam dan hulur pamphlet pada kakak tu (semuanya saya lakukan dalam masa 3 saat kalau tak silap). Yang pelik, si boyfriend yang terkejut, kakak tu buat muka yang agak selamba. Tak tahu kalau ada orang yang pernah bagi pamphlet pada dia sebelum saya sebab itu dia tak rasa apa. Selepas itu, saya pun berlalu dengan doa di dalam hati supaya mereka insaf suatu hari nanti.

Bila dah sampai di kawasan bas-bas yang banyak tu, saya dan Syakira pun ambil keputusan untuk terus berjalan ke sebelah sana, ke Standard Chartered Bank kalau tak silap. Kami tinggalkan Kak Fa dan Kak Syafa di traffic light. Biar mereka menjalankan operasi di situ saja. Saya dan Syakira meneruskan kerja, dan dalam leka mencari-cari dan mengedar-edarkan pamphlet, kami pun dah sampai ke LRT Masjid Jamek. Kami pun ambil keputusan untuk tunggu sebentar di situ, sebabnya di LRT memang ramai orang. Waktu itu memang makin ramai orang berpusu-pusu untuk menggunakan perkhidmatan ‘atas kepala’ ini. Mudahlah bagi kami untuk hulurkan pamphlet. Memang pada asalnya kami nak buat program di situ, tapi yang jadi masalah bila authoriti LRT minta RM600 untuk program tersebut. Jawabnya memang tak jadilah. Siapa pulak nak hulur duit sebanyak itu, sedangkan advancement dari S-DEV pun tak dapat lagi. Itu cerita di sebalik tabir. Gambaran dunia sekarang juga sebenarnya, segalanya perlukan duit. Apa nak buat. Bak kata seorang kawan saya, duit bukan segala-galanya tapi segala-galanya perlukan duit. Ada betulnya. Kalaulah persatuan kami ini ada dana yang banyak, nescaya tutup sebelah mata je kami akan hulurkan RM600 itu. Tapi hakikatnya kami tidaklah setaraf filem Anak Pontianak di TV3 tu, yang dengan mudah je mempromosi rancangan yang saya kira tidak memberi manfaat pada penonton itu di stesen LRT. Lepas je dari laluan exit dari LRT, terus nampak ‘pontianak’. Ingatkan makhluk mane pulak yang ada taring panjang, rupanya promosi filem. Macam-macam...

Di stesen LRT ni, kebanyakan yang ada di situ semuanya berjalan dengan cepat, maklumlah nak mengejar LRT. Lambat beli tiket, lambatla naik. Bila macam tu, banyaklah reaksi-reaksi kurang senang mereka dengan kami. Kebanyakan yang kami suakan pamphlet, memandang dengan pandangan pelik, agaknya tak pernah lagi orang-orang seperti kami ‘menjaja-jaja’ barang-barang baru di kawasan itu. Berkerut-kerut dahi, teragak-agak nak ambil. Terpaksalah saya katakan : “ Saya saja nak bagi, boleh baca-baca bila free” ditambah sedikit senyuman. Barulah mereka terima. Kalau saya jadi mereka pun, mesti macam tu juga.

Akhirnya kami sampai juga di Mydin. Tak sedar dah agak jauh berjalan. Biasalah kawasan ‘spot’ orang membeli-belah. Sambil berjalan-jalan mencuci mata, kami tetap hulurkan pamphlet. Sempat jugak tu. Menyelam sambil minum air. Tak mengapa, asalkan kerja berjalan. Sekurang-kurangnya, taklah nampak serius sangat kami ini. Dengan lagak selamba kami masuk ke kedai-kedai baju dan tudung yang ada di situ, kononnya nak membeli. Padahal ada tujuan lain sebenarnya. Bertanya itu ini pada makcik tu, alih-alih tak jadi beli. Siap bagi pamphlet lagi. Tak tahulah apa kata makcik tu. Paling teruk pun, mungkin ‘kurang asam’ yang makcik tu bagi pada kami. Hehe.

Kemudian, untuk menghabiskan saki baki pamphlet dalam kotak, kami pun berpatah balik ke CM. Kali ini, sasaran kami ialah mereka yang tidak memakai tudung. Terserempak dengan sekumpulan perempuan, bila dihulurkan pamphlet, mereka pun kata “dah dapat tadi”. Rupanya dah selamat jadi kipas pun. Siap lipat-lipat lagi. Hmm, tak apalah, asalkan dah dibaca. Ada juga yang bawa anak kecil, bila dapat pemphlet tu, terus bagi pada anak. Yang paling bagus, ambil dengan senyuman, ucapkan terima kasih dan terus baca sambil berjalan. Harap-harap tak ada yang accident dengan mana-mana tiang. Yang membuatkan muka kami tebal ialah mereka yang tak sudi terima huluran kami. Tak mengapalah, mungkin mereka ingat kami ini tak lebih dari mempromosi barangan baru.

Akhirnya kami sampai semula di Central Market. Kak Fa dan Kak Syafa yang kami tinggalkan tadi, pamphlet mereka masih berbaki. Kak Syafa minta kami ambil lagi, supaya cepat habis. Kami pun bergerak ke arah belakang bas. Kemudian kami berhenti di satu bangunan untuk berteduh. Dengan tidak semena-mena, seorang lelaki berbangsa India menegur kami, meminta pamphlet yang sedang kami edarkan. Dia membaca dengan penuh minat, kemudian terus memuji-muji kami. Katanya kami orang yang baik, buat kerja-kerja sebegini. Saya dan Syakira hanya mendengar, tak memberi respon lain kecuali senyuman yang agak dibuat-buat. Melihat kami begitu, pakcik itu menyatakan yang dia sebenarnya Mualaf. Barulah kami faham mengapa dia begitu kagum.

Bila ditanya, dia sudah memeluk Islam hampir 4 tahun. Keluarga menyisihkannya dengan mengatakan dirinya gila kerana memilih Islam. Anak dan isteri pun ditinggalkan, kerana tekadnya untuk meninggalkan agama lama. Dia tak dapat berjumpa anaknya lagi. Pelbagai soalan diajukan pada kami, yang sebenarnya nak menguji. Tak kurang juga pendapatnya mengenai Islam. Islam agama yang bersih, sebab itu dia masuk Islam. Ada beberapa pendapatnya yang tak dapat kami terima, seperti orang perempuan mesti berambut panjang, untuk berlindung dari kepanasan Akhirat. Wallahua’lam, kami hanya tersenyum mendengar. Dia bertanya tentang mazhab-mazhab, tentang rukun Islam dan Iman. Terlalu banyak yang dibualkan, hanya dia yang banyak berkata-kata. Dalam hati kami banyak meraguinya. Dia meluahkan kebimbangannya melihat masyarakat yang semakin hilang norma-norma kehidupannya. Saya kagum dengan kata-kata dan buah fikirannya. Seorang pakcik yang memikirkan nasib umat. Tutur katanya agak kurang difahami, tapi itu tak menjadi masalah sangat. Beberapa kali dia memuji kami, katanya sanggup meninggalkan kampus semata-mata untuk melakukan pekerjaan ini. Kalau orang lain, semua sibuk dengan hal masing-masing. Kata-kata itu menambah lagi azam saya untuk terus berjasa pada masyarakat.

Sedar tak sedar, sudah 45 minit kami berbual dengan pakcik itu. Agak sedih juga bila dia mengatakan ramai orang yang menganggapnya gila. Memang, bila sekali pandang, pakcik tersebut kelihatan tak lebih dari seorang yang berjalan tanpa hala tuju. Tapi katanya, tuduhan tersebut dihadapi dengan sabar, “ALLAH ada, dia tolong sama saya” katanya. Kagum saya dengan katanya ini. Mungkin disebabkan dah banyak berjalan, keletihan terpancar di wajah kami. Dia dapat mengesan yang kami agak kurang selesa dengan kehadirannya, kami pun menceriakan muka. Kami bukanlah tak selesa dengannya, tetapi disebabkan keletihan, kemudian berdiri 45 minit, itu semua menampakkan riak wajah tak senang kepada pakcik itu. Akhirnya sebelum berpisah, dia hulur tangan untuk bersalam dengan kami. Sudah tentu kami terkejut, hulurannya tak kami sambut. Hmm, satu lagi ujian terakhir untuk kami sebelum berpisah.

Kemudian kami berkumpul di depan kedai Tandoori, bincang apa yang patut dilakukan memandang waktu pada ketika itu baru jam 11.15 pagi. Sampaikan pakcik Tandoori tu sempat mempromosi resipi Tandoorinya yang baru. Kami habis awal, mungkin sebab ramai orang. Bas akan sampai pukul 1.45, jadi kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar CM, dalam ertikata lain membeli belah jugalah. Di dalam CM, kami tak membeli sangat, maklumlah barangannya ‘murah’. Cukuplah sekadar cuci mata. Beli apa yang dirasakan perlu sahaja. Bas sampai tepat pada waktunya, dan kami pun pulang. Kepada pakcik tadi, saya doakan semoga dia bertemu dengan seseorang yang boleh membimbingnya mendalami Islam dengan baik. Moga ALLAH memelihara imannya. Juga, moga ada hati-hati yang tercuit dan tersentuh dengan apa yang dibaca dari pamphlet yang kami berikan. Itulah salah satu usaha kecil yang mampu kami lakukan untuk Islam, dengan harapan ianya menjadi bekalan kami di Akhirat nanti. Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.