Ahad, Mac 23, 2008

PRU oh PRU...

Ketika saya membayar RM3.50 untuk sebungkus nasi goreng cendawan yang ditempah, tergerak di hati untuk berbual-bual dengan makcik yang menjaga di kaunter kafe itu. Kafe di Human Science building yang menjadi kelaziman pelajar-pelajar IRKHS untuk mengisi perut.

“ Makcik mengundi tak haritu?” tanyaku.

“ Makcik tak mengundi la. Pergi tolong abang ipar berkempen.” Jawabnya.

“ Oo. Kat mana tu makcik? Sape abang ipar makcik tu?”

“ Kamu orang mana?” saya pula disoal.

Menjawab sambil tersengih (sebab dah tahu makcik tu orang Melaka) : “ Orang Negeri Sembilan ”.

“ Haa.. Kamu tau ke?”

“ Manela tau makcik, mesti ade dengar-dengar nama die,” jawabku. Ingin tahu.

“ Kat Muar. (Nama abang iparnya terpaksa dirahsiakan).”

“ Oo.. Ade dengar jugak tu. Die menang kan? Yela, Johor kan kubu kuat BN.” Aku mula menghangatkan perbualan.

“ Hmm. Tapi yang lain-lain tak menang. Kita tengoklah nanti bila kepimpinan berubah ni, hak keistimewaan Melayu terjaga ke tak. Penang dah dapat kat Cina, nanti Cina yang ke depan. Silap-silap PM pun diorang nak orang Cina jugak.

“ InsyaALLAH, tak kot makcik.” Kataku agak yakin.

“ Don’t say like that. Susah. Sekarang ni pun rumah flat, dalam satu row tu, family Melayu mesti tak lebih 3. Yang lain semua Cina. Kita tengoklah nanti macam mana.” Dia pun kemudian beredar ke belakang, ke dapur kafe. Riak mukanya jelas menggambarkan kerisauan yang sebenarnya saya tafsirkan lebih kepada rasa kurang percaya.

Bagi saya, kata-kata makcik itu ada benarnya. Saya tidak berniat untuk bersikap perkauman dalam hal ini namun yang pasti, perbualan itu menerbitkan sedikit rasa curiga dalam hati saya. Bercampur rasa bimbang, walaupun masih terlalu awal untuk menjangkakan yang bukan-bukan mengenai kerajaan baru Malaysia yang bakal dibentuk.

Alhamdulillah, selesai sudah Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12) pada Sabtu, 8 Mac 2008. Meskipun saya sendiri belum dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia kerana faktor umur, saya mengikuti perkembangan pilihanraya dari awal hingga malam keputusan dibuat. Rasa bersemangat, kerana peringkat umur sebegini yang membuatkan saya sepatutnya dan perlu prihatin dan beriltizam dengan isu semasa. Bukan sahaja saya, malah seluruh rakyat Malaysia perlu ada sikap sebegini di dalam diri, sebagai bukti kita sayangkan Malaysia ini.

Keputusannya, Barisan Nasional (BN) masih kekal memerintah Malaysia dengan memperolehi majoriti mudah dengan memenangi 140 daripada 222 kerusi Parliman yang ditandingi. Walaupun begitu, PRU kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila BN kehilangan banyak kerusi yang kalau diikutkan tradisinya, BN pasti memenangi kebanyakan daripada kerusi-kerusi tersebut. Lihat saja di Lembah Pantai dan Sungai Siput, Datin Seri Shahrizat Abd Jalil dan Datuk Seri Samy Vellu, masing-masing gagal mempertahankan kedudukan. Dua orang menteri ‘veteran’ yang telah disingkir dari kerusi yang telah sekian lama dikuasai. Datin Seri Shahrizat ditewaskan oleh pencabar muda yang disifatkannya sebagai anak sendiri, Nurul Izzah Anwar yang merupakan puteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di Permatang Pauh menyaksikan persaingan antara Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Datuk Pirdaus Ismail, yang akhirnya memihak kepada Datin Seri Wan Azizah. Manakala kekalahan yang paling tidak disangka-sangka, apabila Datuk Seri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Menteri yang telah berkhidmat selama belasan tahun, kecundang di tangan lawan. Tidak cukup dengan itu, MCA secara keseluruhannya hanya dapat mempertahankan 5 kerusi. Apakah sebenarnya yang berlaku di Pulau Pinang sehinggakan para penduduknya tidak lagi mempercayai pucuk pimpinan sehingga beralih sokongan kepada pihak pembangkang?

Keputusan penuh, 5 negeri beralih tangan kepada Barisan Alternatif. Kelantan terus kekal di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ini bermakna beliau akan meneruskan pemerintahan selama 4 tahun lagi menjadikan tempoh 22 tahun. Manakala 3 negeri di Utara jatuh ke tangan lawan iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, hanya tinggal Perlis untuk BN. Juga yang tak disangka, Barisan Alternatif berjaya merampas Selangor, melengkapkan penguasaannya di 5 negeri. Tentunya kekalahan ini mengejutkan rata-rata rakyat Malaysia. Bagi barisan kepimpinan BN, sudah tentu ianya memberi tamparan yang cukup hebat kepada mereka. Berbagai-bagai tafsiran ditakwilkan oleh ramai pihak mengenai punca kekalahan BN pada PRU kali ini. Situasi ini sedikit sebanyak mengulangi sejarah yang berlaku pada tahun 1969.

Kini setelah genap dua minggu PRU berlalu, berbagai perkara telah dapat disaksikan seluruh warga Malaysia. Bermula dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang, apabila Ketua Menteri baru menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Lim Guan Eng mengangkat sumpah dan secara automatik menyatakan bahawa Pulau Pinang di bawah terajunya akan menghapuskan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara total, atas alasan DEB tidak lagi efektif, seperti di awal pelaksanaannya dahulu. Seterusnya, kekeliruan mengenai peneraju Perak, yang melibatkan pemilihan Dato’ IR Nizar yang diura-urakan sebagai calon. Timbul pula ketidakpuashatian di pihak DAP, yang tidak bersetuju dengan pemilihan tersebut, kerana mereka beranggapan bahawa wakil DAP yang sepatutnya dinaikkan, kerana jumlah kerusi yang dimengangi jauh lebih banyak berbanding yang dimenangi PAS.

Yang pastinya, Malaysia sedang berdepan dengan pembentukan kerajaan yang baru, hasil dari PRU yang memberi keputusan yang berlainan dari yang sebelumnya. Senarai Menteri Kabinet telah pun dikeluarkan pada Isnin yang lalu. Banyak perubahan pada jawatan-jawatan Menteri, yang direncana oleh Perdana Menteri sendiri.

Saya bukanlah sesiapa yang berhak dan berkelayakan untuk mengulas, seperti para penganalisis politik yang sedia ada. Cuma sekadar menyatakan pandangan peribadi sebagai salah seorang rakyat Malaysia mengenai PRU 12 ini. Ketika saya melintasi pintu pagar masuk ke kediaman, saya ditahan oleh pengawal yang bertugas di situ.

“ Ha dik, tunjuk matrik kad,”.

Mujur juga saya memang selalu memakai matrik kad, lalu saya tunjukkannya pada pengawal itu.

“Ok, nasib baik pakai,” katanya.

“ Sekarang ni memang kena check ke pakcik?”.

“ A’ah, sekarang musim spotcheck. Sebab ada orang luar yang main masuk je,”.

“ Oh..,” jawab saya sambil berkira-kira untuk beredar. Tetapi disoal pula oleh pakcik itu.

“ Kamu orang mana? Mengundi tak haritu?”.

“ Orang Negeri Sembilan pakcik. Tak, belum cukup umur lagi,”. Sambil tersengih.

“ Orang Kedah dah bertakbir dah,” katanya.

“ Itulah pakcik, Negeri Sembilan ni bila la agaknya.”

“ Kita tengoklah, bila pemerintahan berasaskan hudud (Islam) ni nanti. Kita ni nanti tak akan kemana, mati juga. Hukum Islam dah cukup baik, tapi ada yang menafikan.

Saya hanya mengiyakan seadanya. Nampaknya pakcik itu begitu bersemangat. Dan saya kagum dengannya.

Dua pandangan yang saya terima pada hari yang sama. Pandangan yang bercanggah antara satu sama lain. Apapun, kedua-dua komen ini, termasuk komen-komen orang lain yang ingin turut serta dalam memikirkan nasib Malaysia ketika ini, sebenarnya memberi refleksi akan pandangan masing-masing mengenai Malaysia di masa akan datang. Apa yang penting, sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya mengurniakan Malaysia para pemimpin yang beriman, adil lagi amanah dalam menjalankan tugasnya. Tidak kira di pihak mana pun mereka, kerana apa yang penting ialah agenda memajukan bangsa dan ummah yang perlu penjadi keutamaan, agar hidup rakyatnya terjamin di masa hadapan.

قال تعالى ((يا أيها الذين امنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم فان تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلا )) (59- سورة النساء)


Mohon maaf jika tulisan ini memberi makna sokongan peribadi saya kepada mana-mana pihak. Sekadar menulis berdasarkan pemerhatian, juga atas rasa cinta pada tanah air tercinta ini.

Jumaat, Mac 07, 2008

PRU 12 : 13 Tuntutan Pelajar



BISMILLĀHIRRAHMĀNIRRAHĪM
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.

Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:

1. Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa Melayu

2. Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3. Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan ‘worldview’, akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum



4. Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapi kepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5. Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6. Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7. Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8. Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9. Menolak Pelabelan ‘Pro Kerajaan’ dan ‘Pro Pembangkang’.

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10. Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da’wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da’wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11. Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang ‘compartmentalization’ tidak melebar.

12. Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremehkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13. Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.


Tuntutan ini disokong oleh (akan bertambah semasa ke semasa):

1. Akademi Pemikiran Pelajar Islam (APPIM)
2. Alumni Pelajar Islam SBP (APIS)
3. Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD)
3. Ikatan Pengajian Islam Pahang (IKATAN)
4. Kelab Intelektual Muda UIAM
5. Kelab PERKIM PAUIAM
6. Kelab Kreatif PAUIAM
7. Kesatuan Pelajar Islam Melaka (KPIM)
8. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ)
9. Kesatuan Pelajar- Pelajar Islam Perak (KPIP)
10. Kesatuan Pembimbing Insan Terengganu (KEPITAR)
11. Persatuan Bahasa Melayu UM
12. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Pinang (PEMBIMBING)
13. Persatuan Pelajar Islam Darul Aman (PERSIDA)
14. Persatuan Pendidikan Islam Negeri Sembilan (PPINS)
15. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
16. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
17. Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (PEPIAS)
18. Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT)
19. Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)
20. Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sabah

Dan individu:
1. Sdr Idzuafi Hadi Kamilan, mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia 2006/ 2007
2. Sdr Nurul Aizam Zaini, mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Multimedia Universiti 2006/ 2007
3. Sdr. Muzammil Arif Kamaruddin, mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UniKL-MFI 2006/2007
4. Sdr. Naqib Derani, mantan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) 2006/ 2007
5. Sdr. Mohamad Hanif Abdullah, mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Darul Iman 2006/ 2007
6. Sdr. Adam Syahmeer Junaidi, mantan Presiden PERMAI UNITAR Sarawak 2006/2007

Rabu, Mac 05, 2008

exam datang lagi..



insyaALLAH.. Minggu depan saya bakal menghadapi paper pertama untuk SEM 2 2007/2008 ini.. Study Circle 2.. Sem ini, tak tau kenapa kurang rasa semangat untuk ke Halaqah pada tiap-tiap minggu. Mungkin jugak sebab satu kelas tu digabungkan 3 group. Jadi mungkin kurang penumpuan bila macam tu. Kalau sem lepas satu group dalam 10 orang, lagi bagus saya rasa. Setiap orang bebas untuk mengeluarkan pendapat. Lebih selesa. 'Ala kulli hal, dah selesai pun untuk Sem ni. Hanya menunggu waktu untuk 'berperang' di dewan peperiksaan yang belum ditentukan tempatnya.


Semoga ALLAH memudahkan saya dalam mengulangkaji pelajaran. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain..Mudah-mudahan segala waktu yang kita luangkan kerana Nya diganti dengan yang lebih baik. Sesungguhnya Dia Yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambanya.


Ma'at Taufiq wan najah fi imtihan niha'iy.. 'Asallah an yaj'alana minan najihin an naajihaat.. Aamin..
Jom ramai-ramai dapat Dean List!!
Hobin jang hobin!!