Jumaat, Julai 25, 2008

Konsert Inul Ahad ini dibatalkan

KUALA LUMPUR: Konsert penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista yang dijadualkan Ahad ini di Stadium Putra, Bukit Jalil dibatalkan seperti konsert di Johor Bahru sebelum ini kerana gagal mendapat permit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Nasir Abu Bakar, Pengarah Urusan IMS Sdn Bhd yang menganjurkan konsert itu berkata, DBKL memaklumkan ia dibatalkan atas sebab keselamatan.

“Kami memohon peminat Inul bertenang dan sebagai penganjur kami sudah berusaha merealisasikan konsert itu walaupun terpaksa berdepan pelbagai halangan.

"Kami ingin memohon maaf atas kegagalan mempersembahkan konsert Inul di Malaysia," katanya yang enggan mengulas lanjut sama ada ia ada kaitan dengan campur tangan parti pembangkang.

Beliau berkata, pembatalan telah dimaklumkan kepada suami Inul, Adam Suseno yang kemudian memberitahu Inul.

Sementara itu, Inul ketika dihubungi di Surabaya, berkata beliau akur dan menerima keputusan kerajaan Malaysia.

sumber : http://www.bharian.com.my

ALHAMDULILLAH, akhirnya!!! :D
Moga konsert-konsert yang seumpama ini dihentikan dan tidak lagi dibuat di Malaysia.
Perbanyakkan pengisian rohani pula.

Bukankah kita ini umat akhir zaman?

Rabu, Julai 23, 2008

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN TERAS PERPADUAN MALAYSIA

Mohd Hilmi Ramli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Politik di Malaysia telah menjadi satu segmen yang paling diminati. Hari ini gosip politik sepert skandal, rasuah, salah guna kuasa, mengejar kuasa dan sebagainya menjadi ‘makanan’ rutin rakyat Malaysia. Apatah lagi dengan kemudahan internet, menyuburkan lagi medium rakyat untuk bercakap apa sahaja yang berkaitan politik dalam tulisan blog ataupun perbincangan maya. Apa sahaja, tidak kira benar atau tidak, fitnah atau bukan, semua boleh diulas dalam blog. Kerana itu gosip politik lebih diminati dan ke hadapan berbanding gosip artis.

Namun demikian, dalam sibuk kita bicara politik, ramai yang lari daripada landasan perbincangan sebenar isu semasa politik. Kotak pemikiran kita tidak dipagari oleh sebuah kerangka kefahaman yang kukuh dan kekal. Isu- isu politik, sama ada melibatkan ahli politik kerajaan atau pembangkang, termasuk pengulas amatur atau profesional hanya melibatkan isu yang ‘fragile’, ataupun tidak ada titik permulaan perbincangan (point of departure). Perbincangan dan debat mereka akhirnya mengumpulkan silang sengketa perdebatan yang tidak menemui jalan keluar.

Persoalan ke mana Malaysia mahu dibawa juga menimbulkan kekeliruan besar ramai di kalangan kita. Isu sentral seperti Bahasa Melayu tidak dilihat sebagai wacana penting mengikat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Kerana itu, Muhammad Iqbal, ahli falsafah tersohor ada mengatakan, ‘Jika mahu maju, lihat ke belakang’. Ini bukan ayat anti klimaks untuk mengahlang kita menuju ke sebuah negara moden dan maju.

Akan tetapi, untuk kita terus maju, sejarah di belakang harus menjadi landasan. Dalam isu kekeliruan tentang kerangka negara Malaysia, sudah termaktub dan dipersetujui bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 harus menjadi kerangka bersama kepada semua rakyat Malaysia. DKK merupakan satu dasar kebangsaan yang disusun dengan persetujuan semua pemimpin mewakili kaum utama di Malaysia, bertujuan mengikat rakyat Malaysia kepada satu dasar yang sama.


DKK menggariskan tiga perkara penting, iaitu “(1) Berteraskan kepada Kebudayaan rakyat asal rantau ini. Ini merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, singapura, Thailand dan Kampuchia serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan- persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu- Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai- nilai keperibadiannya.

Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan satu teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(2) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya.

Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.


(3) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini. Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.” (Kementerian Belia dan Sukan 1973)

Berapa ramai di kalangan generasi muda yang menyedari hakikat ini? Berapa ramai masyarakat berbilang kaum di negara ini menghayati dasar ini?

Hakikatnya jika dibuat bancian, tidak keterlaluan dikatakan majoriti yang tidak tahu, ataupun sudah lupa. Makanya, DKK ini harus digali semula dan diberi nafas yang segar.

Dengan memahami hakikat objektif DKK ini, sebenarnya sudah menyelesaikan pelbagai silang sengketa perdebatan semasa yang berlaku. Dalam membicarakan perpaduan rakyat Malaysia, mekanisme yang terkandung ialah dengan penggunanaan Bahasa Melayu. Namun demikian, pelbagai usaha telah dibuat untuk tidak mengangkat martabat Bahasa Melayu. ‘Pelacuran’ Bahasa Melayu seperti menukar pengajian matematik dan sains kepada Bahasa Inggeris merupakan korban besar Bahasa Melayu. Penukaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia tanpa perbincangan pakar bahasa juga menunjukkan kekeliruan kita.

Kerana itu DKK digagaskan untuk mengikat rasa kebersamaan semua rakyat Malaysia dalam satu ikatan perpaduan, iaitu Bahasa Melayu. Kredibiliti dan status Bahasa Melayu sebagai bahasa penting tidak perlu dipertikaikan lagi.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa penghantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan 1996.

Apatah lagi dalam situasi politik semasa, ada kecenderungan untuk tidak menjadikan DKK sebagai kerangka bertindak dan membuat keputusan. Ramai yang obses dengan semangat baru politik semasa, akhirnya menganut faham ‘dekontruksisme’ ; iaitu pemikiran merombak secara total perkara asas.

Apa sahaja yang ada kepentingan politik, semuanya boleh dilakukan. Tidak kira sama ada wajar atau tidak mengorbankan prinsip yang sedia ada. Contoh terdekat ialah mengorbankan penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajian matematik dan sains.

Pemikiran ini juga tidak ubah seperti Machivellian, yang menghalalkan apa sahaja cara, asalkan matlamat tercapai. Tuntutan golongan minoriti yang tidak berasas dilayan seenak mungkin, dengan terus mengorbankan prinsip yang sudah mendasar. Dalam konteks politik, ahli politiklah yang banyak melakukan perbuatan ‘Machivellian’ ini.

Oleh itu, falsafah politik berteraskan kerangka DKK harus menjadi landasan bertolak pemikiran politik yang baru. DKK seharusnya diwacanakan kembali di semua peringkat golongan, dari menteri sehingga rakyat biasa. Kita khuatir, jika fenomena politik ala Machivellia terus bermaharajalela, akhirnya negara kita tidak akan menemui jalan keluar.

Prof Naquib Al Attas mengibaratkan kita nanti seperti Tuhan Greek, Sisyphus, yang kerjanya menolak batu sehingga ke satu puncak bukit yang tinggi, kemudian membiarkan batu itu jatuh. Kemudian, sekali lagi menolak batu ke atas bukit yang sama dan membiarkan batu itu jatuh. Makanya, berulang- ulanglah perbuatannya.

Kita hakikatnya sudah menemui jalan kebenaran untuk memantapkan masa depan Malaysia ini berdasarkan DKK. Jika kita berterusan berdebat dan bersilang sengketa tanpa kerangka DKK, ibarat Tuhan Greek Sisyphus. Kita akan penat berterusan mencari kebenaran, walhal kebenaran sudah termaktub dalam DKK. Sudah jumpa kebenaran, kemudian rungkaikan balik, kemudian jumpa balik kebenaran, rungkaikan balik.

AUKU Melesukan Gerakan Mahasiswa

22 Julai 2008, Bharian
Oleh Datuk Saifuddin Abdullah
upen@bharian. com.my

AKHIRNYA Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan bulan depan.

Ini bermakna perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil. Saya sendiri turut terbabit dalam perjuangan meminda akta ini ketika menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya pada 1981. Saya juga pernah menjadi mangsanya pada 1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sekarang, kerajaan bersetuju memindanya.

Kali terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah dalam kolum saya “Perspektif” di akhbar ini iaitu ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan di dua IPTA.

Isu itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu, Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih baik.

AUKU tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi merosot di tujuh IPTA, manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang.

AUKU juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.

Sebelum cadangan pindaan ini, ada tiga pendirian mengenai AUKU. Pertama; AUKU baik bagi mahasiswa. Kedua; AUKU perlu dihapuskan dan diganti akta baru. Pendirian ketiga pula ialah peruntukan tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada pendirian ketiga.

Mereka yang berpegang pada pendirian pertama menganggap AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka menggunakan data banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa sebenar.

Ini kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”. “Advokasi” adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis “aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan mahasiswa yang sihat dan segar.

Mereka juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik, tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini berlandaskan faham politik sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya.

Alasan lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapa yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah ini juga double standard kerana ada mahasiswa kita di luar negara mendapat biasiswa lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak wang rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik.

Ada pula yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?

Di samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang, dengan menjadi anggota parti politik, yang larangannya bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara dan pilihan raya umum. Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum, mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik?

Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa. Pada pertengahan 1970-an, ramai aktivis mahasiswa ditahan, menyebabkan sebahagian gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tinggal anggota bukan mahasiswa manakala Majlis Belia Malaysia (MBM) terputus jambatannya dengan kampus.

Banyak tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan Zainah Anwar, membincangkan kesan buruk AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap “tidak apa” di kampus, manakala Idris Ahmad dan Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan terhadap kehadiran parti politik di kampus dan tindakan keterlaluan terhadap beberapa mahasiswa yang kononnya didapati bersalah.

Kerana itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi pendekatan, tetapi, mempunyai premis yang hampir sama dari segi penentangan terhadap AUKU.

Dalam hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1). Ini kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera, sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan membuat kenyataan media.

Adakah dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba saja kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan mahasiswa, seperti sebelum zaman AUKU? Tiada siapa yang tahu jawapannya kerana setelah sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkan semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi “mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.

Tetapi, sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan peruntukan yang drakonian. Ia mungkin dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada faktornya.

Namun, AUKU bukan sekadar membabitkan mahasiswa, malah pensyarah juga. AUKU juga bukan sekadar hal ehwal politik kampus saja, sebaliknya, ia adalah antara dasar utama tentang menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang sebenar.

Satu daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi tidak hanya membabitkan bidang politik. Sebaliknya, demokrasi membabitkan hampir seluruh spektrum kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi juga.

Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk saja kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal.

Jumaat, Julai 18, 2008

Batalkan Sajalah..

Konsert dibatalkan, Inul hampir pitam

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut sensasi Indonesia, Inul Daratista hampir pitam hari ini, sebaik dimaklumkan pembatalan Konsert Inul Live In JB pada saat akhir yang dijadual malam esok.

Inul yang bergegas dari Johor Bahru ke ibu kota hanya dimaklumkan mengenai pembatalan konsert itu pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Dia yang kecewa mendengar berita itu meminta penganjur, IMS Prima Sdn Bhd menyatakan alasan mengenai pembatalan konsert di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunus di Larkin, Johor Bahru itu.

"Saya ingin tahu alasan yang jelas mengapa dibatalkan kerana hanya dimaklumkan sebaik sampai di sini (Kuala Lumpur).

"Saya cuma mahukan penjelasan kerana laporan akhbar yang diterima semuanya baik saja. Saya mahu tahu siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini," katanya sebak.

Bagaimanapun, konsert di Larkin, itu tetap diteruskan apabila penganjur memindahkan lokasinya ke Stadium Putra, Bukit Jalil, 27 Julai ini.
sumber : Berita Harian


Mengapalah harus dipindahkan lokasi konsert ni, senang cerita batalkan sahaja. Sudah terang lagikan bersuluh bahawa konsert ini tiada faedahnya pada rakyat, mendatangkan dosa saja.

Tidak cukup lagikah konsert-konsert yang banyak diadakan di Malaysia ini? Ditambah lagi dengan program realiti yang menyebabkan orang semakin tak tahu menilai realiti itu?

Cukuplah. Buat apa bersusah payah buat program yang tiada faedah, malah penganjur akan tanggung 'saham' akibat anjur program yang melalaikan seperti ini.

Batalkan sajalah...
Banyak program lain boleh buat, tak begitu? ^_^

Hamdan Lillah!~

Assalamu'alaikum..
Aiwa, rasa macam dah lama tak post artikel baru. Last artikel hujung minggu lepas. Tercari-cari juga topik untuk dimuatkan. Bukan tak ade topik, malah terlebih topik, cuma tak ada..ooppss..kurang masa sebenarnya nak karang betul-betul. Ni pun baru usai briefing peserta-peserta Kem Khalifah Muda yang akan berlangsung esok. Moga berjalan lancar, insyALLAH. Pada ALLAH kami sandarkan harapan.

Mengaku bahawa minggu ini saya banyak ketinggalan membaca surat khabar. Mungkin kerana kelas yang penuh pada sekitar waktu tengahari membuatkan saya terkejar-kejar untuk menguruskan lain-lain perkara. Biasalah, minggu-minggu awal semester baru ini. Semua orang kelam-kubat (terlebih kelam-kabut, maaf ahli bahasa!)Alhamdulillah, dah dapat kelulusan untuk minoring dalam Quran dan Sunnah. Patutla masa masuk kelas Internet Applications (konon2 keciwa la tak dapat minor QS), hati rasa macam berbelah bahagi walaupun terpaksa redha. Rupa-rupanya habis sahaja kelas, dapat tahu bahawa Senate dah luluskan untuk pelajar-pelajar BAR boleh minoring in Quran dan Sunnah. Betapa bersyukurnya aku kala itu! Alhamdulillah, ALLAH kabulkan jua doaku hambaNya yang kerdil lagi lemah ini! Hamdan Lillah~

Untuk semester baru ini, saya menggariskan beberapa perkara untuk islah diri yang lebih berkesan, insyaALLAH.

- Menjaga hubungan dengan ALLAH.
- Menjaga hubungan dengan keluarga dan memberi perhatian pada adik-adik yang akan mengambil peperiksaan besar tahun ini.
- Pengurusan assignment yang lebih teratur dengan tidak bertangguh.
- Memperbanyakkan bacaan, terutama buku-buku haraki dan buku-buku berbahasa arab.
- Berusaha untuk menstabilkan pointer.
- Keseimbangan antara keterlibatan dengan jemaah dan status sebagai seorang mahasiswi.

Moga perancangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Allahu musta'an :)

ITD, 10.20 pm 18 Julai 2008

Ahad, Julai 13, 2008

Spain dan Euro 2008

Assalamu'alaikum w.b.t...

Demam Euro telahpun reda hampir sebulan yang lalu. Walaupun terlewat, tetap juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Spain yang berjaya menjuarai Euro kali ini, setelah menunggu sekian lama selepas kali terakhir memenanginya pada 1964.

Jujurnya saya nyatakan, saya bukanlah peminat sukan bola sepak, seperti mana rakan-rakan yang lain. Sanggup mengorbankan waktu tidur hanya kerana bola. Mungkin kerana saya bukan seorang lelaki, kerana bila sebut sahaja bola, kaum lelakilah yang paling rancak bercerita, tak kira dari peringkat umur dan latar belakang. Muda hingga tua, dari yang ranggi pakaiannya hinggalah yang berketayap kepalanya, semuanya sama-sama berbicara mengenai bola. "Makan bola, tidur bola, segalanya bola. Juga kita lihat ada negatifnya sukan ini, dek kerana sebiji bola untuk ditendang, letak tengah padang, beribu-ribu orang tak sembahyang.

Bukanlah niat saya untuk bercerita mengenai bola yang saya kira tidak berkesudahan. Fokus saya pada entri ini adalah mengenai Spain ataupun Sepanyol, sebuah negara Islam yang dahulunya gemilang, namun dirampas oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella. Jika dilihat sejarah penyebaran empayar Islam di Sepanyol cukup hebat, seperti mana yang disifatkan oleh Philip K Hitti, seorang 'alim Islam sebagai:

" Penaklukan Sepanyol adalah perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luas kepada kekuasaan Islam ".


Tamadun Andalusia yang cukup gah empayarnya ditandai oleh sebuah istana yang dinamai Al-Hambra, yang mana binannya memperlihatkan seni bina Islam yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana binaan lain. Ukiran yang cukup halus dan cantik dapat dilihat pada dinding-dinding dan tiang Istana Al-Hambra ini.




Usaha yang dilakukan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dilihat sebagai amat perlu dan harus disokong agar tamadun-tamadun Islam yang mewarnai dan melitupi segenap antero dunia suatu ketika dulu, dapat dikembalikan semula pada zaman ini. Di dalam GPTD, terdapat sebuah kumpulan yang mengkaji tamadun Islam di Sepanyol. GPTD-Spain boleh dilawati di sini.

Ketika saya mendapat tahu pasukan bola sepak Spain berjaya melangkah masuk ke pusingan akhir, barulah saya rasakan aura Euro 2008. Sya yang pada mulanya tidak begitu ambil tahu mengenai Euro 2008, terus sahaja menjadi bersemangat, dan berharap Spain akan menang sekalipun berhadapan dengan Jerman, yang diramalkan oleh ramai orang akan menang dalam pertemuan itu. Namun nasib menyebelahi Spain, walaupun bergelar Juara Euro 2008 hanya dengan 1-0. Saya cukup gembira dengan kejayaan ini, namun saya rasakan kegembiraan ini akan lebih bermakna kiranya yang menang itu ialah pasukan Spain yang negaranya masih lagi dikuasai Islam.

Sama-samalah kita mendoakan agar Sepanyol akan kembali disinari cahaya Islam yang agung, kerana sejarah yang lalu ada kemungkinan untuk berulang. Telah ada usaha-usaha yang tampak cuba untuk membersih serta menyucikan semula bumi Andalusia yang dicemari setelah dijajah. Kita sebagai Muslim yang bersaudara, harus ada usaha bagi tujuan ini, paling tidak berdoa dan terus berdoa agar tamadun Islam di Sepanyol akan kembali menyinar, begitu jua tamadun-tamadun Islam di pelosok dunia yang lain.

" Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya".

Rabu, Julai 09, 2008

Ayuh ke Konvensyen Mahasiswa

Dengan segala hormatnya,

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA
(PKPIM)

Dengan kerjasama,

DEWAN BAHASA & PUSTAKA & DEWAN MASYARAKAT

Menjemput saudara/ saudari menghadiri,

KONVENSYEN MAHASISWA : MENGISI REALITI
12 JULAI 2008, SABTU
BALAI TUN SYED NASIR, DEWAN BAHASA & PUSTAKA
YURAN : RM 10

Pengesahan kehadiran sebelum 8 Julai 2008, nama dan no. Telefon boleh di emelkan ke pkpim_spp@yahoo. com atau terus menghubungi Sdr. Bukhori di talian 03-61879520.

KONVENSYEN MAHASISWA : MENGISI REALITI SEMASA

ATURCARA
MASA ACARA
8.00 - 8.30 Pendaftaran peserta
8.30-8.40 Ucapan Alu-aluan Penegrusi Majlis
8.40-8.45 Ucapan Aluan Pengarah Konvensyen
8.45-9.00 Ucapan Aluan Presiden PKPIM
9.00-9.45 Ucaptama dan Majlis Perasmian oleh:
YBhg. Prof. Dr. Awang Sariyan
(Presiden Linguistik Malaysia)
“Mengisi Landskap Politik Baru Malaysia”
9.45-9.55 Persembahan Multimedia
9.55-10.00 Rehat dan minum pagi
10.00 - 10.45 Slot 1: Dasar Kebudayaan Kebangsaan : Realiti Hala Tuju
Malaysia
YBhg. Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran
(Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa)
Faisal Tehrani
(Penulis Novel)
10.45-11.15 Soal jawab
11.15 – 12.00 Slot 2: Merealisasikan Perpaduan Rakyat Malaysia
Dato Dr Hassan Ahmad
(Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan)
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Khoo Kai Kim
(Jabatan Sejarah UM)
12.00 – 12.30 Soal jawab
12.30 – 2.00 Makan tengah hari
2.00- 3.30 Slot 3: Fokus dan Peranan Generasi Muda dalam Mengisi Realiti Semasa
Presiden PKPIM
Presiden GAMIS
Presiden MPPK
Presiden/ Wakil GPMS
Y4C
3.30-4.15 Soal jawab
4.15-4.30 Rumusan
4.30 Bersurai

Boleh Percaya ke?

Assalamu'alaikum semua..

Disebabkan kesibukan setelah mendaftar semester baru bagi sesi 2008-2009, baru ini dapat post di blog ini. Dalam minggu ni asyik-asyik 'ziarah' je.. Tak dapat nak sign in, kejar masa. Kesibukan minggu 'adjustment period' membataskan masa untuk berblog. Nak guna PC lama-lama, rasa tak adil pulak pada rakan-rakan yang nak buat add and drop.

Bila masuk ke YM, saya dapat satu offline message. Berbunyi begini:

Sekiranya anda dirompak dan dipaksa untuk mengeluarkan wang akaun anda daripada mesin ATM, anda boleh meminta bantuan cara senyap dengan memasukkan no Pin anda di mesin ATM cara terbalik. Sebagai contoh jika no Pin anda adalah 123456, jadi anda harus memasukkan nombor 654321. Mesin ATM akan mengenalpasti nombor tersebut adalah nombor yg diterbalikkan drpd nombor yg sebenarnya melalui kad anda yg masukkan kedalam mesin tersebut. Mesin ATM akan tetap mengeluarkan wang tunai seperti biasa, tapi apa yg kita tidak ketahui, pihak Bank dgn segera akan menghantar pihak berkuasa (Polis) kepada anda. Perkara ini pernah disiarkan di TV baru-baru ini dan ianya menyatakan kaedah ini jarang diguna disebabkan ramai orang tidak mengetahui akan kewujudan sistem ini..
Lalu saya terfikir, sejauh mana kesahihan mesej ini. Betul ke ada dinyatakan dalam tv baru-baru ini?
Kalau betul ada, tak mengapalah. Ada juga manfaatnya, mana tahu. Na'uzubillahi min zalik..
Sekadar menyampaikan, kalau betul baguslah..
Kalau salah?
Betul ke ada keluar dalam tv?
Mungkin yang membaca post ini dapat jawab?

Khamis, Julai 03, 2008

Insentif RM1 juta kepada atlet olimpik perlu dikaji semula - anggota parlimen

03/07/2008 3:50pm

KUALA LUMPUR 3 Julai — Kerajaan wajar mengkaji semula keputusan untuk memberikan insentif RM1 juta kepada atlet negara yang berjaya memperoleh pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing, bulan depan kerana ia boleh menimbulkan kesan tidak baik termasuk melahirkan atlet materialistik, kata seorang anggota Parlimen di sini, hari ini.

[teruskan bacaan]

Alhamdulillah, rezeki lagi!

Alhamdulillah, dalam tahun 2008 ini keluarga saya menerima dua orang 'pembawa rezeki'. Seorang (anak maksu) dilahirkan pada 16 mac 2008. Seorang lagi (anak sepupu) pada 30 Jun 2008, Isnin lepas. Kedua-duanya lelaki. Hmm.. Saya harap kedua-dua sepupu dan anak buah saya ini nanti akan menjadi ketua keluarga dan pelindung yang bertanggungjawab. Wow, jauh betul pemikiran! Hehe. Mana taknya, hidup sekarang ni susah nak cari lelaki yang betul-betul bertanggungjawab. Ada, tapi ibarat satu dalam seribu. Maaf, bukan nak provoke tapi itulah hakikatnya (kenapa aku bangkitkan hal ni ye?). Tapi apa kurangnya perempuan, bukan semuanya boleh dipercayai (erk..)

Ha, nak tunjuk sikit gambar sepupu dan anak buah baru ni.. :)

[teruskan bacaan]