Rabu, Ogos 27, 2008

Lakum at-Tahniah!!



Gembira yang tak terucap. Pastinya itulah perasaan yang menyelubungi tiap hati yang bergelar graduan UIAM tatkala tiba untuk Majlis Konvekesyen ke-24. Keceriaan jelas terpancar pada setiap wajah graduan yang menerima ijazah yang ditunggu-tunggu, dengan masing-masing segak memakai jubah berserta mortar board baru. Tiada lagi songkok.

Juga sudah pastilah "lepas" segala penat lelah dan jerit perih sepanjang bergelar mahasiswa di menara gading. Setelah beberapa tahun bergelumang dengan ilmu yang menuntut seribu macam pengorbanan yang tidak terhingga. Terkadang terasa seperti akan putus asa, namun demi ilmu semua itu tidak dikira.

Saya turut merasakan 'aura' kegembiraan para graduan ini sekalipun sekadar melihat. Apa yang menjadikan Majlis Konvokesyen lebih berharga sudah pastilah kerana para graduan ini diiringi ahli keluarga, terutama ibu dan ayah, insan yang paling berhak menerima kejayaan ini. Senyuman dan ucapan tahniah dari ibu dan ayah menjadi 'hadiah' bermakna bagi mereka pada hari bahagia ini. Alangkah berbahagianya mereka!

Namun hakikatnya bagi saya, kehidupan sebagai insan di muka bumi ini baru sahaja bermula. Selepas ini mereka akan 'terjun' ke kancah masyarakat, melihat dan merasai serta menjiwai sendiri bagaimana rupanya hidup bermasyarakat. Maklum bahawa kehidupan masyarakat hari ini khususnya di Malaysia begitu mencabar, dek kerana kemajuan global dan juga berbagai pergolakan yang berlaku. Ditambah pula dengan alam pekerjaan yang ditempuhi nanti dihiasi dengan mehnah dan tribulasi yang sudah tentu menuntut kesabaran dan kegigihan.

Justeru, tahniah dan mabruk diucapkan kepada semua graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang telahpun berjaya memperoleh segulung ijazah. Harapan dan doa saya agar mereka terus cemerlang, dan selamat menempuh realiti kehidupan dengan berbekalkan keazaman yang kental untuk merubah masa depan negara ke arah lebih sejahtera dan gemilang. Jadilah insan yang paling baik di kalangan manusia seluruhnya, seperti kata-kata Nabi Muhammad s.a.w :

"خير الناس أنفعهم للناس"

Malaysia memerlukan anda semua!

Jemputan ke Hari Keluarga PPINS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Saudara/saudari,


JEMPUTAN KE HARI KELUARGA PPINS
Didoakan semoga saudara/ri berada di bawah lindungan hidayah dan rahmat Allah SWT.


Sukacita dimaklumkan bahawa anda semua dijemput untuk menghadiri Hari Keluarga Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan (PPINS) pada 31 Ogos 2008(Ahad) bertempat di Taman Rekreasi Seremban.


Tujuan diadakan hari keluarga ini adalah untuk mengumpulkan dan meraikan ahli-ahli PPINS yang lama dan yang baru. Selain itu, hari keluarga ini juga turut membincangkan tentang hala tuju dan pendaftaran PPINS. Dalam masa yang sama, program ini juga adalah untuk merapatkan lagi hubungan PPINS dengan ABIM NS. Berikut adalah maklumat penuh tentang program ini :


Nama Program : Hari Keluarga PPINS

Tempat : Taman Rekreasi Seremban(sebelah Masjid Negeri)

Tarikh : 31/8/2008

Anggaran Peserta : 20 orang ahli PPINS


Pihak kami amat berbesar hati sekiranya anda semua dapat menghadiri hari keluarga kami ini. Hal ini juga sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli PPINS yang jauh dan juga yang dekat. Sila berikan nama dan no tel anda kepada saudari shamimi-017-6018781 selewat-lewatnya pada hari khamis ini(28/8/2008) dan juga boleh menghubungi izzat-013-3539359 untuk keterangan lanjut tentang program ini.
Diharap juga saudara/ri dapat meluangkan masa bersama kami sempena Hari Keluarga ini. Insya Allah.

Sekian, Terima Kasih.


“Satukan Hati Kami”


Tentatif program:


9.00 pagi : Ketibaan ahli


10.00 pagi : Taaruf ahli baru dan lama


11.00 pagi : Pengisian bersama Ustaz Syamsul

Yang Dipertua ABIM NS

12.00 tgh : Perbincangan Hala Tuju dan Pendaftaran PPINS

1.20 petang : Makan / Sembahyang

2.00 petang : Perkongsian Pengalaman bersama ahli PPINS

3.00 petang : Sesi penggambaran

3.15 petang : Salam Ukhuwah / Bersurai.

Semoga kehadiran saudara saudari dapat menyumbang ke arah memperkukuhkan PPINS sekaligus memperkasa gerakan dakwah ini. insyaALLAH.

Selasa, Ogos 26, 2008

Bantahan Pemakaian Mortar Board





Pada 20 ogos yang lalu, MPP UIAM telah mengadakan demonstrasi membantah penggantian songkok dengan mortar untuk majlis konvokesyen. Seramai 100 orang mahasiswa berkumpul untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap isu ini.

Momentumuiam sangat tidak bersetuju dengan penukaran ini kerana ia melibatkan identiti UIA itu sendiri. Pemakaian songkok ini juga yang membezakan UIA dengan yang lain. Jika kita mengetahui songkok ini dipakai adalah untuk menyatakan lambang Universiti Islam itu sendiri selain melambangkan orang Melayu itu sendiri.

Ramai yang momentum bertanyakan tentang isu ini hatta pensyarah sendiri juga menyatakan rasa tidak setuju mereka terhadap isu penggantian songkok ini. Ada juga mahasiswa itu sendiri memasuki UIAM kerana uniknya konvokesyen memakai songkok. Malah mahasiswa luar Negara dan bukan Islam pun selesa dengan pemakaian songkok ini. Tidak timbul isu tidak selesa dan sebagainya. Sekurang-kurangnya masyarakat boleh mengenali identiti Islam itu sendiri.

Isu yang lebih besar di sini adalah duit yang digunakan oleh UIA untuk menggantikan songkok ini. Setiap semester, mahasiswa mengadakan banyak program untuk kemasyarakatan dan program dalam university yang tidak terkira banyaknya. Jika dilihat perkara ini, tidak mustahil banyak program UIA akan dikurangkan dan diketatkan prosedur untuk menjalankan program. Realiti sekarang pun memang begitu.

Maka pihak UIAM perlu mengkaji semula penggunaan mortar untuk konvokesyen akan datang. Selain isu identiti, ia juga adalah isu duit yang terlalu banyak dibelanjakan untuk itu sehinggakan pesta konvokesyen tahun ini dilihat nampak tidak meriah seperti dulu.



Layari juga http://www.malaysiakini.com/news/88153

petikan : http://momentumuiam.blogspot.com

Jemputan Ke Seminar Pemindaan AUKU



Anda semua dijemput ke Dialog Pindaan AUKU bersama ahli-ahli Parlimen.
Pada 29hb Ogos 2008(Jumaat)
Main Auditorium UIAM.

Sila sebarkan kepada semua Mahasiswa!
Student Power!
Mahasiswa Jurubicara Ummah!

Jumaat, Ogos 22, 2008

Kimi dalam kenangan...


kimi dan cici (kimi yg kecil)


ica dan anak2nya


cici si gemOk!

Ya Allah..

Itu yang mampu diucapkan ketika saya mendapat tahu bahawa Kimi, salah seekor anak-anak kucing kesayangan kami sekeluarga telah mati. Ia telah sakit selama beberapa hari tanpa sebab yang diketahui. Terpana seketika.

Termenung, fikiran berputar. Memikirkan begitu mudah Kimi meninggalkan kami. Masuk kematian yang ini, sudah 2 ekor kucing peliharaan kami mati, termasuk seekor hilang tanpa berita. Awal tahun ini, kami kehilangan Alia, yang pada asalnya seekor anak kucing Siam yang comel, ditinggalkan oleh orang yang tak dikenali di depan pintu pagar rumah. Melihatkan anak kucing yang berbulu hitam dan sedikit berbelang itu, kami terus mengambilnya sebagai peliharaan. Hari demi hari, Alia membesar menjadi kucing yang sangat comel. Alia berbulu hitam kekelabuan, badannya gebu dan yang membuatkan ia cantik ialah garisan putih nipis dari belakang kepala hingga ke tubir matanya. Ditambah pula dengan ekornya yang kembang dan berbelang seperti ekor tupai. Memang cantik. Hidup kami terasa lebih ceria, lebih-lebih lagi ayah. Maklumlah, dapat anak baru. Hehe.

Kegembiraan dan keceriaan kami melihatkan telatah Alia setiap hari, rupa-rupanya tak kekal lama. Satu hari, ummi memarahinya kerana ‘melepas hajat’ dalam rumah, lalu tanpa disengajakan, ummi memukulnya dengan penyapu lidi. Alia terus berlari keluar tanpa diketahui ke mana perginya. Petang hari baru kami sedar kehilangan Alia. Ketika itu kami sekeluarga heboh mencarinya di dalam rumah. Namun kami tak dapat mencari di luar rumah kerana hujan. Puas kami memanggil-manggil namanya. Selalunya Alia akan menyahut jika namaya dipanggil. Ketika itu baru saya tahu bagaimana rasanya “kucing kehilangan anak”. Kerisauan kami sudah tak terkira apabila menjelang senja, Alia gagal kami temui. Kami yakin sesuatu telah menimpanya. Kami terdengar seakan-akan ada suara kucing mengiau sayu seperti dalam kesakitan, tapi kami tak dapat mengesan dari mana arahnya bunyi itu.

Akhirnya pada keesokan pagi, bangkai Alia ayah temui di belakang rumah dalam keadaan luka yang teruk, dengan muka yang sedikit hancur, kesan dilanggar kereta. Badannya yang dulunya gebu kerana banyak makan, telah leper. Alangkah sedihnya kami ketika itu. Agaknya bunyi ngiauan yang kami dengar semalam, adalah ngiauan Alia yang meminta tolong. Ummi menangis kesal, kerana memukulnya semalam. Mungkin disebabkan itu ia lari membawa diri hingga ke jalan raya. Waktu itu baru saya teringat semula akan tabiatnya yang pelik beberapa hari sebelumnya. Saya memanggilnya, namun tidak disahut dengan ngiauan. Ia seperti sedang merenung sesuatu. Ia tetap begitu walaupun saya memanggilnya berulang kali. Bangkainya ayah tanam di belakang rumah. Alia tetap kekal dalam lipatan kenangan kami, sungguhpun tiada gambar sebagai tanda ingatan.

Dengan kematian Alia yang kami sayangi itu, ayah bercadang untuk mengambil kucing yang lain sebagai ganti. Kebetulan ada kenalan ayah yang mempunyai anak kucing. Lalu satu hari, ayah membawa pulang seekor anak kucing berwarna oren keputih-putihan. Tapi anak kucing ini kasar dan tidak jinak. Pada mulanya, kami tidak sukakannya. Lebih-lebih lagi adik yang ketakutan bila kucing itu seolah-olah ingin mencakar apabila dipegang. Setelah beberapa bulan, kucing itu membesar menjadi kucing yang cantik. Tak sangka, ia pun mempunyai ekor yang cantik, berbelang-belang putih dan oren. Kami namakannya Alisa, sebagai mengabadikan Alia.

Alisa akhirnya melahirkan dua ekor anaknya yang comel. ‘Cucu’ ayah yang sulung dan kedua. Hehe. Bulunya oren dan putih, sama seperti Alisa. Mata pun oren. Kami namakan anak-anak Ica sebagai Kiki dan Cici. Muka Cici sedikit comel berbanding Kiki. Bila dah besar sedikit, perbezaan kedua-duanya agak ketara. Kiki ada tompok oren di tengkuk.


kiki

Cici yang aktif, jadi gemuk sebab banyak makan. Waktu makan, dialah paling laju sekali makan. Kesian Kiki, ia selalu tak cukup makan, sebab itu ia lebih kurus. Ia selalu mengalah dengan Cici. Cici gemok! Cici selalu bergurau dengan ayah. Balik dari sekolah, ayah akan ‘disambut’ oleh cucu-cucunya yang mengiau-ngiau lapar. Padahal kami dah bagi makan pada waktu pagi. Biasalah kucing, sifatnya yang manja inilah yang menyebabkan manusia suka padanya. Tapi kami tidaklah macam sesetengah kaluarga yang berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk kucing. Sampaikan makanan kucing lagi mahal dari makanan tuannya. Apa kes?

Ada seekor lagi kucing kami, Comel namanya. Sebelum kehadiran Alia, Comellah kucing pertama peliharaan kami. Comel kami temui di hadapan rumah, bersama-sama seekor lagi. Yang seekor itu (tak sempat bagi nama) kami beri pada Pak Long di KL. Namun ia mati dahulu akibat ‘dikerjakan’ oleh beruk. Sungguh menyedihkan, perutnya terburai. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un. Kucing Siam yang berbulu putih, bermata biru. Badannya gemuk dan gebu. Namun entah kenapa satu hari, ia hilang tanpa kami sedari. Puas kami mencari, namun mungkin sudah takdir, ia tidak pulang hingga hari ini.

Kini selain Alisa dan anak-anaknya, ada seekor lagi kucing dalam rumah kami ini. Namanya pelik sikit, Bombob. Adik yang bagi. Yang seekor ni bising sikit mulutnya. Kadang-kadang bila ‘angin kus-kus’ nya datang, mulalah bising. Tak tau apa puncanya. Ia yang paling mahir selok-belok rumah. Kalau dihalau keluar, tak sampai seminit dah masuk semula dalam rumah. Semua ‘port’ ia tahu. Hehe.


bombob, bapak kiki dan cici (mungkin juga kimi, lala dan popo)

Ketika pulang ke rumah lewat minggu lepas, saya terus menjenguk ‘rumah’ kucing-kucing kami. ‘Rumah’ itu nampak kosong, kerana hanya tinggal Ica, Cici, Kiki dan Lili (nama baru Lala). Terasa sayu di hati. Mengenangkan Kimi yang dah pergi. Sayang, ia tak sempat membesar. Ia lain dari Lili dan Popo. Bulunya halus, macam sutera. Kata ayah. Hmm, Popo pun dah tiada, diambil oleh Mak Ngah. Mungkin raya nanti kami dapat jenguk Popo di rumah Mak Ngah. Memang, sepangjang 3 hari di rumah, terasa kesepiannya. Jika dulu suara 3 ekor anak-anak kucing yang masih kecil mengiau-ngiau manja minta diberi makan kami dengari saban hari, kini sudah tiada.

Khamis, Ogos 21, 2008

alamak!!

alamak, kelas skill arabic debate tinggal beberapa minit lagi! Saya yg dah duduk selama sejam di ITD ini tak sedar..

macam mana ni..

macam mana ape?

kelas dh nk start..

hbs tu ape mslhnye, pegi la cepat, nanti ust tunggu..

ermm.. rasa macam nak menangis laa!!!

la, kenapa pulak?

herk.. hari ini rasanya sudah banyak menghampakan orang..

siapa? apa yang kau dah buat?

entahlah.. sebenanrnya bukan hari ini.. sejak akhir-akhir ini..


Sahabat2, saya benar-benar MOHON MAAF atas segala tanggungjawab yang tak dilaksanakan. Segala amanah yang diberikan tak mampu saya buat. Bukan tak mampu, sebenarnya saya mampu, tapi entah kenapa sejak akhir-akhir ini.....
(ditujukan khas kepada Qiyadah UIAM Gombak)

dengan kaki yang laju bersama fikiran tak menentu, saya harus ke kelas...

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-47




Jumaat, 22 Ogos 2008


MAJLIS PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN


3.oo petang Pendaftaran Peserta

6.30 petang Makan Malam

7.30 malam Solat Maghrib

8.00 malam Sesi Persidangan 1

11.00 malam Rehat


Sabtu, 23 Ogos 2008



KONVENSYEN KOLEJ ISLAM SEMALAYSIA


8.30 pagi Ketibaan Perasmi


9.00 pagi Ucapan Dasar “ Memacu Masa Depan Gerakan Da’wah”
Mohd. Hilmi Ramli
Presiden PKPIM

10.00 pagi Minum Pagi


10.15 pagi Pidato Utama “Memperkasa Pendidikan Islam Demi Masa Depan”

YB Dato Hasan Ali
Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Selangor


11.15 pagi Sesi 1

Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad

Kepentingan dan Keutamaan Dakwah dalam Suasana Sosio Politik Negara

12.45 t/hari Rehat

Solat Zuhur / Makan Tengahari

2.00 petang Sesi 2

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Mahasiswa dan Kepedulian Sosial : Menggembleng Keperkasaan Generasi Muda

3.30 petang Sesi Bengkel

“Masa Depan Institusi Pendidikan Islam Negeri”

4.30 petang Resolusi

Sesi Penutupan

6.00 petang Rehat

8.00 malam FORUM GENERASI MUDA

10.00 malam MALAM TAUTAN ANAK NEGERI

11.00 malam Rehat




Ahad, 24 Ogos 2008


MAJLIS PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN


8.30 pagi Sesi Persidangan 2

10.30 pagi Minum Pagi

11.00 pagi Sesi Persidangan 3

2.00 petang Bersurai


Sekiranya berkelapangan, jemput sama-sama menghadiri MPAT ini. Walaupun kita dihimpit dengan peperiksaan dan sebagainya, perlu sebenarnya untuk kita hadir. Harapan saya agar MPAT kali ini membawa titik perubahan yang bermakna untuk perjuangan ini. Aamin, rabbi yassir wa la tu'assir!

"MEMACU MASA DEPAN GERAKAN DAKWAH"

Selasa, Ogos 12, 2008

Mana janjimu??

Assalamu'alaikum w.b.t..

Allahuakbar..
Serasa dah lama tak menjenguk dan mengemaskini (jgn guna 'update' k) laman saya ini. Seperti biasa, alasan yang diberikan mesti "sibuk", "tak sempat", "takde masa" dan sebagainya. Itu jualah 'alasan' saya kali ini. Tugas-tugas sebagai hamba di atas Bumi ini menyebabkan setiap detik dalam hidup ini serasa begitu pantas berlalu. Serasa tiada walau sedetik saat pun masa untuk bersuka ria seperti orang lain. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini sudah jarang sekali saya ketemu masa untuk merehatkan diri. Bak kata Hasan al-Banna : tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Namun alhamdulillah, dek kerana kesibukan inilah saya fikir saya 'terselamat' dari melakukan perkara-perkara yang tak sepatutnya. Walhamdulillah ya Rabb!!

Duduk di perkarangan Masjid SHAS ini, usai mengemas barang-barang pameran mengenai kanser yang dianjurkan WAFA UIAM, atas kelolaan saya sendiri. Kelihatan pelajar-pelajar lau lalang, mungkin baru pulang kelas. Semuanya dengan urusan masing-masing.

Minggu lepas, saya bermimpi. Mimpi yang sememangnya saya nantikan. Subhanallah. Saya bermimpi berada di Mekah untuk kali kedua. Entah mengapa tak semena-mena mimpi itu datang. Di dalam mimpi itu saya seolah-olah dipanggil untuk menyertai satu kumpulan untuk ke Mekah. Saya pun dengan perasaan terkejut namun gembira terus sahaja bersetuju. Lalu kelam kabut memberitahu sahabat-sahabat yang saya akan ke Mekah, pada keesokan hari! Subhanallah, mimpi apakah ini? Mungkinkah ada maksud tersirat?

Masih segar dalam ingatan saya kenangan-kenangan manis di Tanah Suci. Terasa sejuk ketika dahi mencecah lantai Masjidil Haram, selepas selesai Tawaf. Tidak terasa air mata jatuh, mengenang dosa yang bergelumang. Di hadapan Ka'abah saya berjanji pada Allah, untuk jadi hamba solehah. Namun, di mana janji itu?

Saya kira saya tidak memenuhi janji itu. Bahkan saya mengkhianatinya. Ya ALLAH, ampuni aku! Mungkin mimpi itu sebagai tanda peringatan dari Allah, agar saya memperbaiki diri.

Pengharapan saya masih tinggi seperti dulu, waktu baru sahaja pulang dari Mekah. Dan pengharapan itu saya harap akan terus kekal, hinggalah Allah beri peluang untuk ke rumah-Nya lagi.

Terima kasih ya ALLAH, atas kurnia-Mu dulu. Juga kerana menyedarkan aku. Terima kasih kerana memberiku peluang 'menjejak' Tanah Suci Mu, walaupun di dalam mimpi cuma. Moga ada sesuatu yang tersirat di balik mimpi itu...........


Khamis, Ogos 07, 2008

Raih RM3.5j jika sertai pembelaan bekas pemimpin Serbia

LONDON: Keluarga penjenayah perang Bosnia dan bekas Presiden Serbia, Radovan Karadzic didakwa bakal menerima habuan kira-kira £500,000 (RM3.5 juta) jika sanggup membantu mempertahankan beliau di mahkamah antarabangsa.

Malah, akhbar Britain, The Sun memetik sumber melaporkan semalam, Karadzic sudah pun mengatur supaya anak perempuannya, Sonja, menyertai pasukan peguam mewakilinya dalam perbicaraan di Tribunal Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Bekas Yugoslavia di The Hague, Belanda.

Sonja yang juga seorang ahli perniagaan, diibaratkan sebagai tunjang dan pemimpin keluarganya sejak Karadzic menyembunyikan diri selama 13 tahun sehinggalah ditangkap bulan lalu.

Wanita itu juga dikatakan memainkan peranan penting termasuk memberi arahan kepada peguam Karadzic sepanjang ketiadaan bapanya.

Berikutan itu, sebarang tindakan Sonja termasuk menyertai pasukan pembela bapanya dikatakan mampu memberikan wanita itu pendapatan sehingga £400 sehari (RM2,800) hasil wang awam selain pendapatan tambahan sebanyak £1,000 (RM7,000) sebulan.

Ini bermakna, dakwa The Sun, Sonja bakal meraih pendapatan sehingga £500,000 jika perbicaraan bapanya membabitkan 11 pertuduhan itu berlanjutan selama empat tahun.

Perbicaraan jenayah perang bekas Presiden Yugoslavia Slobodan Milosevic berlanjutan sebegitu lama sehingga beliau mati akibat serangan jantung dalam bilik kurungan pada 2006.

Seorang lagi penjenayah perang Serbia, Zoran Zigic pula dilaporkan mampu membeli dua rumah hasil pendapatan wang yang diagihkan sesama anggota pembelaannya.

Sementara itu, di Sarajevo, akhbar Amerika Syarikat, New York Times melaporkan semalam, seorang lagi penjenayah perang Bosnia yang diburu, Ratko Mladic, sememangnya dilindungi pasukan tentera Serbia dan pegawai perisikan bertahun-tahun lalu.

Sementara itu, di AMSTERDAM, Karadzic memohon tribunal meminta bekas Setiausaha Negara Amerika, Madeleine Albright dan wakilnya ke Balkan, Richard Holbrooke, memberi keterangan dalam kes terhadapnya.

Karadzic mendakwa, Holbrooke memeterai perjanjian dengannya pada 1996 bahawa beliau tidak akan dibicarakan atas tuduhan jenayah perang jika meninggalkan politik dan menghilangkan diri tanpa menyekat perjanjian damai Bosnia.

Holbrooke menafikan berita itu tetapi Karadzic mahu beliau memberi keterangan bersumpah.

Ketika mengemukakan pendiriannya, Karadzic mencabar kesahihan perbicaraannya.

Beliau bertindak sebagai peguam bela bagi diri sendiri. – Agensi.

Rabu, Ogos 06, 2008

Mari Mendalami Agama...

Pengajian Kitab Hikam Ibn Atho'illah


Bersama Dengan:

Al-Fadhil Tuan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi

Tarikh: 7 Sya'ban 1429H / 10 Ogos 2008


Hari : Sabtu
Waktu: Selepas Solat Maghrib

Tempat: Surau Anjung Rahmat,Kompleks Anjung Rahmat, Bt.6, Gombak

...SEMUA DIJEMPUT HADIR...


Untuk Sebarang Pertanyaan:

http://www.almukminun.blogspot. com/