Khamis, September 25, 2008

Peringatan dan pengajaran untukku!

Astaghfirullah al- 'Azhim!

Segera saya beristighfar sebaik saja tersedar. Allahuakbar! Dah pukul 9 rupanya. Mimpi tadi.. Ya ALLAH, betulkah apa yang aku alami? Fikiranku bercampur baur. Terpinga-pinga. Gementar.

Ya Allah, benarkah? Dalam keadaan buntu, saya bingkas bangun, terus menuju ke bilik air. Membersihkan diri untuk ke kelas sebentar lagi. Dalam pada itu, fikiran tak lepas mengulang tayang segala yang berlaku dalam mimpi. Serasa diri ini berada dalam alam lain.

Di dalam mimpi itu, saya seperti akan kehilangan seorang insan yang paling saya sayangi dalam hidup ini. Mengapa pula keadaannya sebegitu? Ya Allah, selamatkanlah dia.

Ah, mungkin tak perlu untuk saya ceritakan secara jelas apa yang berlaku dalam mimpi itu. Cukuplah ianya sebagai peringatan. Peringatan supaya saya lebih menghargai insan tersebut. Pengajaran supaya jangan cuba untuk tidur selepas Subuh. Mungkin kerana kepenatan dan kurang tidur, saya tak dapat menahan asakan mata dan koordinasi badan yang minta direhatkan. Lalu akibatnya, memang rehat itu saya dapat, namun tak sangka rehat yang beserta peringatan dan pengajaran!

Akibatnya lagi, kejadian ini membuatkan hari saya menjadi serabut dan kusut. Serasa inilah hari paling teruk buat saya. Sehingga ke hari ini masih berbekas lagi penangan mimpi itu. Amat teruk dan payah bagi saya untuk melupakannya.

Diulangi sekali lagi : jangan sekali-kali cuba untuk tidur selepas Subuh!

Selasa, September 23, 2008

Jemputan ke Iftar Kubra PKPIM UIAM

Assalamualaikum..

Anda semua dijemput ke IFTAR KUBRA PKPIM UIAM pada 23hb September 2008(selasa) bertempat di EDU SQUARE ( Bersebelahan klinik UIAM)
Bermula pukul 6.00 hingga 10 malam


6.00 petang : Ketibaan Pelajar
6.30 petang : Ketibaan VIPs
6.40 petang : Pengisian Ramadhan 1 Oleh : YBhg. Professor Emeritus Dato' Dr. Osman Bakar
Professor di ISTAC
7.13 petang : Bacaan Doa dan Berbuka Puasa
7.30 petang : Solat Maghrib
7.45 petang : Makan Malam
8.10 malam : Majlis Khatam Al-Quran
8.45 malam : Solat Isyak dan Tarawih
9.15 malam : Pengisian Ramadhan 2 Oleh : Prof Dr Sidek Baba
Profesor Pendidikan di UIAM
10.00 malam : Bersurai


* sila bawa bersama sejadah dan al-quran untuk tadarus.
* makanan disediakan.



erm..iftar kubra ni mcm kurang kena la. Kubra utk muannas, sedangkan iftar tu muzakkar.. mungkin lps ni kene tukar "Iftar Akbar". Tapi nampak macam pelik la. Huhu. Takpe, biasakan yang x biasa.. :D

Isnin, September 22, 2008

Ramadhan di penghujung..

Ya Ilahi..



Sedar tak sedar, hari ini dah 22 Ramadhan
Serasa baru seminggu bersama Ramadhan
Hati jadi rawan
Di pekan dah riuh dengan sambutan Syawal minggu depan
Kedai-kedai bermacam jualan berderet tepi jalan
Tarawih dah ditinggalkan
Pahala puasa tak diendahkan
Irama-irama melalaikan mula dimainkan
Macam nak sambut 'kepulangan' si syaitan
Siapa yang tangisi pemergian Ramadhan?
Jika dahulu para sahabat,
Sekarang adakah umat?
Siapa yang gembira dengan kehadiran Syawal?
Jika dahulu sambutan ala kadar,
Sekarang sambutan cabar-mencabar,
Siapa punya langsir paling lebar,
Siapa punya kuih raya penuh semeja,
Kadang-kadang buat hiasan saja
Ayuhlah ayuh,
Ramadhan dah tak sampai sepuluh,
Hisablah dari hari pertama sampai dua puluh,
Agak-agaknya dapatkah pahala penuh?
Marilah mari, hitung dengan jari,
Ramadhan berbaki 7 hari,
Jangan Syawal dinanti, Ramadhan dilupai,
Masih ada satu hari,
Lailatul Qadr kita cari,
Jadilah 'abid di malam hari,
Pohonlah segalanya pada Ilahi,
Moga hidup jadi lebih bererti,
Dari saat ini,
Sampai tutup mata nanti...
Menangisi pemergian Ramadhan,
22 Ramadhan 1429 H,
1.30 pm

Kami kehilangan lagi...

Assalamu'alaikum semua..

Alhamdulillah Sabtu lepas (kelmarin) saya sempat pulang ke rumah. Setelah lebih dua minggu tak iftar di rumah (org lain lbh dari tu).

Sampai-sampai je di halaman rumah, lepas salam ummi dan anje (adik paling kecil), tiba-tiba anje kata : "Kak, Kiki dah mati".

Saya tercengang!

"Ha, bilo?" jawab saya menzahirkan ketercengangan.

"Baru yo tadi," ummi pula menjawab.

'Ya ALLAH, habisla kucing rumah ni," dengan nada sayu aku menyimpulkan kejadian itu.

Hmm.. sampai-sampai rumah je, disambut dengan berita sedih. Kata ummi, Kiki mungkin dilanggar kereta. Tempat kejadian hanya di depan rumah. Rumah kami ni tepi selekoh. Mungkin Kiki nak melintas, kereta tersebut pun laju, lalu terus melanggar beliau. Keadaan Kiki mu"sif jiddan (sangat kasihan), mata kirinya terjojol keluar. Lagi menambah kesedihan saya.

Kini, hanya tinggal Alisa, Cici si gemuk, Jerry (nama baru Lili) dan Bombob..
Kandang kucing itu semakin lengang..

Jumaat, September 19, 2008

Sekalung Takziah untuk Syira sekeluarga

Hari Ahad yang lepas, aku dan beberapa sahabat meluangkan masa menziarah Syira, seorang adik yang ku kenali di dalm perjalananku di alam da'wah ini. Ibunya baru sahaja kembali ke Rahmatullah pada 6 September yang lalu.

Selepas seminggu pemergian ibunya, ku lihat dia seperti biasa, namun dapat ku kesan ada riak kesedihan yang masih berkocak. Namun adikku itu cukup tabah, semangatnya kuat. Semangat yang dikumpul bersama ahli-ahli keluarganya yang lain. Kami bertemu dengan kakak kepada arwah ibunya, yang menurutnya baru sahaja bersara. Alhamdulillah, ada juga saudara terdekat yang dapat menjaga di saat-saat begini.

Masihku ingat ketika melawat arwah ibunya yang masih nazak pada pagi hari itu. Tidak terbayang kesakitan yang ditanggung akibat kanser yang dihidapinya. Syukurlah, kulihat semua anak-anaknya ada di sekeliling. Tetapi tika itu, aku fikir masih ada harapan untuk sembuh atau kesakitan itu berkurangan. Namun telah tiba takdir, dalam perjalananku pulang ke UIA setelah beberapa jam di sana, aku menerima SMS mengatakan ibunya sudah tiada. Aku terkedu tika itu.

Kami mengadakan tahlil ringkas malam itu. Lain benar rasanya. Mengenangkan adikku yang baru kehilangan ibu. Agaknya bagaimana pula keadaannya jika aku yang mengalami saat-saat getir ini? Ya ALLAH, rahmati ummi. Berikan kehidupan yang penuh pengabdian padaMu ya Rahman..

Akak doakan Syira terus tabah menghadapi hari-hari muka. Binalah masa depan yang cerah dan kehidupan yang bahagia. InsyaALLAH.

Moga rohnya ditempatkan dalam golongan mu'minat saalihaat. Aamin..

~Al- Fatihah~

Iftar Jama'ie PPINS

Alhamdulillah, Persatuan Pendidik Insan Negeri Sembilan telah berjaya mengadakan Iftar Jama'ie di bulan Ramadhan, bulan penuh mulia ini. Majlis diadakan pada 12 September 2008 bersamaan 12 Ramadhan 1429H.

Majlis dimulakan pada jam 6.30 petang dengan persiapan tempat. Terima kasih kepada sahabat-sahabat dari UNISEL : Hafiz dan rakan-rakannya, juga adik-adik dari PAUIAM PJ : zulikram, fatimah, zatil dan afifah yang sudi datang dari jauh bagi menjayakan iftar ini. Ada juga ahli yang sudah lama tidak ketemu, hadir pada majlis ini. Terima kasih diucapkan.

Majlis berbuka puasa bermula agak lambat kerana menanti ketibaan tikar untuk dijadikan alas. Alhamdulillah, makanan yang ditempah mencukupi tanpa lebih atau kurang. Selesai solat Maghrib, masa menunggu solat 'Isya diisi dengan tazkirah oleh Sdra Jufitri Joha, aktivis dakwah sepenuh masa yang merupakan Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD). Beliau juga merupakan senior PPINS yang menjadi contoh kepada kami dengan keistiqamahannya di dalam medan juang ini. Di dalam tazkirah ringkasnya, beliau banyak menceritakan kisah-kisah para sahabat yang cemerlang meskipun di bulan Ramadhan. Antaranya kisah ulung perang Badar yang berlaku di bulan Ramadhan yang menyaksikan kemenangan besar pada tentera ISlam meskipun bilangan mereka hanya 313 orang sahaja.

Kemudian selepas solat 'Isya dan Tarawikh, sesi meraikan hari lahir Saudari Shamimi dan Sadrina yang jatuh pada 12 dan 13 September. Semoga Allah memberi keberkatan umur di dunia ini. Seterusnya diadakan perbincangan hala tuju PPINS bagi beberapa tempoh yang akan datang termasuk Liqa' Mahabbah di Masjid as-Syakirin KLCC pada 17 September 2008.

Akhir kata, sekali lagi diucapkan terima kasih di atas kerjasama dan kesudian semua ahli yang hadir pada malis ini. Mohon maaf dari ahli jawatankuasa pelaksana atas semua kekurangan yang berlaku. Moga hati-hati ini akan terus bersatu di atas nama dakwah. Aamin.

Lagi gambar di http://ppinsn9.fotopages.com

Ateh dah lepas satu tangga!

Assalamu'alaikum..

Akhirnya, adikku yang ke-4 yang kami panggil ateh dah pun selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 9-11 September lepas. Syukur alhamdulillah, akhirnya adik lelakiku yang kedua itu dah lepas UPSR.

Melihat keputusan percubaan sebelum ni, nampaknya ada sedikit peningkatan. Ateh ni bukan jenis yang mengadap buku sangat (macamla kakak die ni ngadap buku huhu). AKu perhatikan sejak dari Darjah Satu, dia bermula dengan prestasi pembelajaran yang bagus. Ketika itu aku masih ingat bila melihat keputusan-keputusan ujiannya, hati kecilku terdetik dan berdoa : "ateh ni budak pandai. InsyaALLAH cerah masa depan". Harapanku sememangnya tinggi pada adikku yang seorang ini.

Tapi makin lama dia membesar, aku perhatikan pelajarannya mula tak stabil. Aku sendiri hairan. Memang dia banyak main (perkataan mudah). Biasalah, budak lelaki (ramai yang anggap camni kan). Aku dulu pun main-main jugak. Hehe. Bila masuk darjah 6, kerisauan ini bertambah bila keputusan ujian yang tak memuaskan. Sepatutnya dah nak dekat UPSR ni, prestasi makin meningkat.

Aku syak ateh ada simpan sesuatu dari pengetahuan kami. Akhirnya satu hari aku masuk ke dalam biliknya. Lalu aku angkat bantal tidurnya di atas katil, dan akhirnya tahulah aku apa sebab dia selalu berkurung dalam bilik. Padahal dalam bilik tu bukan ada PS 2 ke apa..

Nak tau apa?


Handphone..!


Terkejut bukan kepalang kakaknya ini. Takpe, husnu zhon lagi, mungkin dia pinjam handphone kawannya. Memang cantik, kalah handphone aku!

Bila ditanya, katanya itu telefon dia. Baru sahaja dibeli dari kawannya. Masa tu otakku ligat berputar, dari manalah budak ni dapat duit? Aku tambah terkejut bila dia kata telefon itu dibeli dengan harga RM50 dari kawannya yang dah berpindah ke sekolah lain. Katanya budak itu keluarganya senang. Tapi aku tetap hairan, mana dia dapat RM50?

Baru aku teringat, mungkin duit simpanan dari jualan tin-tin kosong. Ateh ni rajin dan pandai jugak cari duit sendiri. Tin-tin kosong dkumpulnya, kemudian jual pada orang India yang salu datang rumah tanya : " makcik, ade tin kosong tak?" Agaknya duit hasil jualan tu, disimpannya sedikit demi sedikit lalu banyaklah jadinya. Kadang-kadang, uwan bagi upah tolong pungut getah jugak. Dan apa-apa lagi pertolongan yang uwan minta, selalunya memang uwan bagi upah. Memang uwan orangnya macam tu. Sangat sayangkan cucu. Yelah, kami je yang setia temankan uwan di kampung ini. Hehe.

Dengan kehadiran telefon tu, menambahkan kegusaran kami. Ateh asyik dengan telefonnya tu. Sampaikan ayah suruh ummi simpan telefon tu sehingga ateh habsi UPSR. Sekarang ni dah selesai UPSR, merdekalah tu! Hmm.. Ateh, ateh.

Kata ummi, bila ditanya berapa target untuk UPSR ini, jawabnya 4 sahaja. Mungkin keputusan percubaan Sains yang tak seberapa itu tak memungkinkannya untuk memperolehi A. Aku sempat telefon ateh pada malam sebelum UPSR bermula. Bunyinya macam yakin. Untuk memberi semangat pada ateh, ummi temankan dia ke sekolah pada hari pertama UPSR bermula, macam aku jugak dulu. Hehe. Kata ummi, tak aci pulak kalau hanya aku yang berteman masa UPSR. Aku pun sokong ummi. Kalau diimbas dulu, memang aku jadi bersemangat dengan kehadiran ummi di sisi. Eh, di luar dewan.

Alhamdulillah, aku berpuas hati dengan keputusan UPSR yang aku dapat. 4A 1B. Sebetulnya aku sedikit kecewa, kerana aku anak sulung. Bak kata ayah, selalu jadi 'eksperimen'. Hehe. Namun angah telah menebus kembali kekeciwaanku dengan mendapatkan 5A dalam UPSRnya. Tahniah kepada angah, memang ko superb la! :) Setakat ini takde lagi di kalangan kami berempat yang dapat memecahkan rekod angah. (Adik belum boleh masuk carta, belum cukup umur). Alang pun tak dapat 5A jugak dulu. Siapa tahu, mungkin ateh yang dapat mencabar angah? InsyaALLAH, sama-sama nantikan.




Aku yakin dengan ateh. Beberapa bulan akhir sebelum UPSR, ateh mengikuti kelas tuisyen matematik di sekolah. Nampak peningkatannya di situ. Bukan apa, ateh ni cuai sikit. Soalan tidak dihadam dulu sebelum jawab. Selalunya begitulah, bila aku semak latihan-latihan yang dibuat. Kadang-kadang bila balik rumah.


Ya ALLAH, lembutkanlah hati para pemeriksa kertas-kertas jawapan itu.
Ya ALLAH, jika keputusan 5A itu layak untuk adikku ini, kau berikanlah Ya ALLAH.

Terima kasih juga pada sahabat-sahabat yang sudi mendoakan adikku. Semoga kejayaan milikmu teh! :)

Ahad, September 14, 2008

Malam Yang Dingin

Bulan Ramadhan bulan yang berkat
Bulan rahmat dan bulan utama
Pahala digandakan doa diterima
Bulan Lailatul Qadar yang istimewa

Isilah bulan ini banyakkan amalan
Beribadah malam siang berpuasa

Dengan tidak sedar, hari ini 25 Ramadhan, menandakan telah 25 hari umat Islam berpuasa. Kita telahpun meninggalkan 'separuh masa pertama' Ramadhan 1429H. Masa begitu pantas berlalu.
Seakan tak terasa berlalunya waktu. Namun setelah 25 hari kita berpuasa, berlapar dan dahaga, adakah hanya lapar dan dahaga yang kita perolehi?


Seharusnya Ramadhan dimulai dengan niat serta keazaman di hati, bahawa kita akan melakukan amalan yang terbaik dalam bulan yang singkat ini. Sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Umar r.a setiap kali tibanya Ramadhan, akan berkata : Ahlan ya mutahhiral qulub! yang bermaksud : Selamat datang wahai bulan yang membersihkan hati! Begitu juga dengan para sahabat yang lain, amat bergembira dengan kedatangan Ramadhan dan bersedih dengan pemergiannya.
Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang membaca sedikit ilmu dan peringatan yang sempat saya catat dalam Rakaman Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) bulan lepas. InsyaALLAH akan ditayangkan pada malam ini (25 Ramadhan 1429 H bersamaan 25 September 2008) di RTM 1. Barisan panel pada malam itu ialah : Ustzh Nik Salida (pensyarah di USIM), Ustz Hanafi (Ulul Albab Management) dan Dr Wan Shohor Bani Leman (pensyarah UIAM). Forum dipengerusikan oleh Sdr. Ridhwan Tee Abdullah. Akhirnya berjaya juga saya mengikuti rakaman Forum Perdana Hal Ehwal Islam ini yang selalunya saya ikuti dari kaca televisyen di rumah. Alhamdulillah. Walaupun kesejukan dek menunggu barisan panel bersiap, namun di hati tetap cekal menanti. Jaket yang dipakai pun terasa nipis dek kerana kesejukan pendingin hawa CAC ini. Seperti biasa, Forum Perdana ini diacarakan oleh seorang pengacara bersama, iaitu Hafiz Hamidon.
Majlis bermula jam 9.30, lewat kira-kira sejam dari waktu asal. Rasa berdebar-debar, sebab duduk di barisan paling hadapan. Paling mendebarkan sebab jurukamera sentiasa mencari fokus untuk mengarahkan lensa kameranya. Alamat masuk tv la!
Majlis bermula dengan keadaan penonton yang ceria setelah dihiburkan dengan gurauan oleh Sdr Ridhwan Tee. Namun selepas beberapa minit, rakaman terpaksa diulang, kerana Moderator tersasul, mengatakan bahawa dia disambut dengan pelbagai kuih yang enak sejak tiba petang tadi. Sedangkan sepatutnya semua yang terlibat harus menggambarkan situasi bulan Ramadhan. Lalu bergema ketawa seisi dewan dan rakaman pun dimulakan semula.
Pada pusingan pertama, Ust Hanafi mempersoalkan mengapa kita tidak melakukan perkara-perkara wajib ketika di bulan puasa? Memang hakikatnya kita berpuasa, namun ramai juga yang hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, namun solat 5 waktu yang wajib dilakukan ditinggalkan. Sememangnya ini realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Seterusnya ahli panel kedua, Ust Wan Shohor Bani Leman memperkatakan tentang sikap Muslimin yang acuh dan tidak acuh dengan kehadiran Ramadhan. Beliau memetik kata-kata Imam Ghazali bahawa Lailatul Qadar berkemungkinan berlaku pada hari ke-21 (Isnin), 23 (Sabtu), 25 (Khamis), 27 (Selasa/Jumaat) dan 29 (Ahad). Selanjutnya Ust Nik Salida antara lainnya mengingatkan supaya kita mencari kelebihan pada setiap hari di bulan Ramadhan, terutama 10 hari yang terakhir, kerana di antara 10 hari tersebutlah berlakunya Lailatul Qadar.
Kemudian di pusingan kedua, dijelaskan pula bahawa setiap amalan hamba adalah dengan niat, seperti hadith Nabi : Innama al a'maalu bi an-niat". Dengan itu, segala perbuatan akan jadi sempurna jika diniatkan kerana Allah Ta'ala. Ust Wan Shohor Bani Leman menceritakan tentang sifat-sifat malam Lailatul Qadar, di mana ianya satu malam yang terang, walaupun tiada bulan kelihatan. Dijelaskan juga mengapa ALLAH merahsiakan malam istimewa ini? Hal ini kerana bila kita menyedari dan mengetahui malam Lailatul Qadar, kita akan senyap dan mungkin tidak memberitahu akannya pada orang lain. Ust Wan Shohor membuat perbandingan antara 'ibadah at-tujjar dengan 'ibadah al-mukhlisin yang sudah pasti berbeza.
Ust Nik Salida pula selanjutnya menceritakan kisah Rasulullah bila berada di 10 malam terakhir. Baginda mengejutkan seluruh ahli keluarga untuk bangun beribadah. Di sini digambarkan pentingnya peranan ketua keluarga dalam mengajak ahli keluarga mencari Lailatul Qadar. Jika seseorang hamba menemukan malam ini, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu seperti dinyatakan dalam Hadith Nabi, juga para Malaikat akan mendoakan hamba-hamba yang berzikir dan memohon keampunan bagi mereka. Alangkah beruntungnya mereka ini!
Satu do'a yang menarik diajarkan oleh Baginda s.a.w (seingat saya,maaf andai tersalah) di bulan Ramadhan ini :
اللهم طهّر قلوبنا من النفاق
وأعمالنا من الرياء
Juga doa yang amat perlu diamalkan : اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنّا
Terdapat juga Hadith Nabi yang mafhumnya : jika kita tidak terdaya untuk beribadah pada 10 malam terakhir, maka janganlah sampai kita terluput 7 hari terakhir. Janganlah kita sibuk dengan urusan dunia, hingga terlepas nikmat besar yang Allah beri kepada kita.
Seharusnya selepas Ramadhan, janganlah kita berubah sama seperti apa adanya kita sebelum Ramadhan. Hendaknya segala amalan diteruskan menjadi amalan sepanjang hidup. Oleh kerana inilah, bulan mulia ini dipanggil 'Madrasah', kerana ia memberi ruang masa dan waktu bagi kita mendidik diri untuk mengharung 11 bulan yang lain.
Tips-tips untuk khusyuk :
- rasa kasih dan sayang pada Allah Ta'ala
- merasakan sempurna dengan kekhusyukan
- menginsafi bahawa kerahsiaan Lailatul Qadar adalah untuk kita sentiasa patuh padaNya.
Sepatutnya kita bila berada di penghujung Ramadhan, kita berasa sedih dengan pemergiannya. Barangsiapa yang bergembira, maka itu tanda bahawa tiadanya rasa kasih serta cinta pada Allah Ta'ala. Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 malam terakhir. Kita tidak akan tahu bila akan berakhirnya nyawa, maka beringat-ingatlah akan amalan sendiri.
Di akhir forum, Ust Wan Shohor menyatakan pendapat-pendapat ulama tentang malam berlakunya Lailatil Qadar ini. Ibnu Abbas memberatkan pandangan bahawa ianya pada malam ke 27 Ramadhan, sama seperti Ibnu Mas'ud. Malam ini bagi sesiapa yang beruntung, adalah malam untuk melipatgandakan amalan. Hati manusia adalah di antara 2 jari Allah, maka pada bila-bila masa Allah boleh bolak balikkan hati manusia.
Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya sisipkan di sini. Untuk meneliti segala isi dengan lebih sempurna, jangan ketinggalan menyaksikan forum ini malam ini. InsyaALLAH..
Maaf jika terdapat kesalahan dalam entri ini. Wallahu'alam..


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ* وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ* لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ*
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ* سَلَامٌ *هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ