Khamis, Januari 29, 2009

Moga ALLAH merahmatimu Atuk!



Ketika dalam perjalanan seusai Rehlah Mahabbah PPINS di Ulu Bendul pada hari Ahad yang lepas, seperti biasa kalau lalu di pekan Kuala Pilah, pasti saya dan keluarga akan singgah di Pasaraya Aktif. Pasaraya ini taklah sebesar mana, namun berupaya memenuhi keperluan dan kehendak penduduk2 di sini (fuhh..ayat..!) Ketika membeli keperluan rumah, ayah berkata : "Esok harijadi atuk." Saya pun agak terkejut. "Harijadi?" Setahu saya orang zaman dulu (bahasa mudah untuk warga emas yang ada sekarang sewaktu mereka muda) tak dapat dipastikan tarikh lahirnya. Rupa-rupanya mengikut anggaran tarikh lahir 27 Januari 1928, atuk dah masuk 81 tahun!
Atuk (ayah kepada ayah) tinggal seorang di rumahnya di Juasseh (daerah Kuala Pilah). Masa kecil saya dari sebelum pandai berjalan hingga bersekolah Tahun Dua adalah di sana, bersama-sama atuk. Atuk dah lama tinggal seorang, selepas arwah Wan (panggilan org N9 untuk nenek perempuan) meninggal, masa itu ayah di sekolah menengah lagi. Ummi pun tak sempat jumpa. Bayangkan dah begitu lama atuk tinggal seorang. Namun ada ketikanya ayah akan pulang menjenguk atuk di rumah pusaka itu.
Kami tiba di rumah atuk sebelum Asar. Rupa-rupanya Maksu (adik ayah) pun baru saja sampai. Maksu baru pindah ke Batu Kikir, jadi saya fikir hanya kami sekeluarga akan menyambut hari jadi atuk. Sebenarnya ayah sengaja tak nak bagitau atuk tentang sambutan harijadi beliau ini. lepas selesai segala persiapan, tiba-tiba kek dibawa keluar. "Selamat Hari Lahir, Selamat Hari Lahir, Selamat Hari LAhir Atuk, Selamat Hari Lahir..!" Suara ayah paling kuat sekali. Hehe.
Kek pun dipotong. Sebelum makan, atuk bacakan doa. Atuk ialah Imam di surau Kampung Paya Kumbuh tu. Kalau atuk lambat pergi surau, alamat berjanggutlah orang surau menunggu. Sebab tu atuk tak boleh lambat setiap kali masuk waktu solat. Alhamdulillah, walaupun hidup atuk sunyi tanpa isteri, Allah isi dengan rutin yang bermanfaat. Satu kelebihan atuk, beliau pandai berbahasa Arab. Mungkin sebab tu cucunya yang seorang ni minat bahasa Arab. Hehe (perasan sikit).
Sebenarnya hati cucu atuk yang seorang ini sebak, mengenangkan hidup atuk yang bersendirian selama puluhan tahun. Tambahan lagi, dua daripada 5 orang anak atuk sudah terlebih dahulu pergi mengadap Tuhan, iaitu arwah Mak Lang dan Pak Ngah. Arwah Mak Ngah meninggal dunia akibat asma pada tahun 2001. Kemudian dengan tidak disangka, Pak Ngah seorang yang ceria dan amat sayangkan anak-anaknya itu pergi menyusuli Mak Lang pada tahun 2005 akibat kencing manis. Sebab itu ketika ayah saya mengalami kemalangan kecil tahun lepas (masa saya Ta'aruf Week di UIAM ini), atuk menangis, kerana memikirkan kalau ayah saya pun mengikut jejak langkah dua orang anaknya itu. Alhamdulillah, segala-galanya selamat.
Masih dan takkan saya lupa, kegigihan atuk menghantar saya ke TASKI ABIM Juasseh setiap hari menaiki basikal tuanya dahulu. basikal itu masih ada, dan itu antara momen terindah saya bersama atuk. Taski tu taklah terlalu jauh, namun saya sangat berterima kasih kepada atuk atas kesungguhannya menghantar saya pergi dan mengambil saya pulang ke rumah. Sehingga sekarang saya masih meneruskan pengajian. Beliau pun takkan lepas dari bertanya soal-soal pelajaran, dan banyak memberikan nasihat. Sekalipun pendengaran atuk dah tak sejelas dulu, namun atuk tetap memberi perhatian kepada cucu-cucunya.
Atuk, Tiqah doakan semoga ALLAH memberi kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan menerima segala amalan2 atuk. Terima kasih atas segala jasa dan kasih sayang atuk selama ini. Hanya pada Allah lah segala balasan yang baik. Baarakallahu fiima kunta, hafizhaka wa yar'aakallah... Aamin...

Sahabat dakwahku..?

Assalamu'alaikum w.b.t...

Allahuakbar, awwalu bi awwalin, saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kerana dah begitu lama tak mengemaskini blog. Banyak perkara yang terjadi menyebabkan blog ini terpaksa direhatkan seketika. Entahlah, kadang-kadang bukanlah sebab ketandusan idea, tapi tak tahu nak mula dari mana. Tapi sebenarnya kalau Allah beri sedikit ilham, maka dapatlah saya menulis walaupun sedikit. Kalau tak, jadilah sebaliknya.

Minggu-minggu pertama di UIAM bagi semester kedua, tahun kedua pengajian saya ini dirasakan begitu pantas berlalu. Bukan sahaja pantas, malah padat dengan berbagai-bagai agenda yang perlu kepada perancangan yang teliti. Alhamdulillah, PRK yang baru sahaja berlalu memberi 1001 makna bagi semua, terutamanya pada saya yang terlibat di sebalik tabir. Tahniah juga takziah kepada semua calon yang telah menang, dan tahniah kepada calon yang tidak berjaya kerana mereka sebenarnya telahpun berjaya memberi saingan kepada calon-calon lain. Sesungguhnya perkara yang lebih penting untuk difikirkan ialah pelan gerakerja selepas diberi mandat sebagai exco SRC (Student Representative Council) nanti. Masa depan mahasiswa2 UIAM terletak di tangan anda!

Bagi yang terlibat dalam isu permainan politik kampus, pasti mengetahui apa yang terjadi di sebalik PRK ini. Saya secara peribadi berasa begitu kecewa dan hampa dengan apa yang telah berlaku. Di kala seluruh jentera pilihanraya berusaha sehabis mungkin meraih kepercayaan daripada rakan-rakan mahasiswa (persaingan secara sihat), ada juga permainan kotor yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak dapat dipastikan siapakah dalang yang sebenarnya, namun bagi saya apa yang lebih menyedihkan ialah bagaimana sahabat-sahabat dakwah sendiri sanggup mencemarkan nama dan maruah sahabat-sahabat yang lain, semata-mata inginkan kejayaan. Adakah ini sebenarnya tujuan PRK? Adakah ini sebenarnya politik kampus? Apakah ertinya ukhwah Islamiyyah dalam gerakan da'wah jika dikotori dengan perbuatan seperti ini? Ayuh sahabat-sahabat, kita buang persepsi negatif, kita ambil pendirian positif, supaya arah langkah kita selepas ini lebih jelas. Adalah perlu difahami bahawa politik kampus adalah bersih dari campur tangan politik luar. Segala fitnah yang dilemparkan ini harus dijawab, agar tidak terus mencemar nama baik gerakan da'wah ini. Ingatlah, Allah menyatakan dalam al-Quran :

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ) (الحجرات : 6 )

Sesiapa yang datang dengan sesuatu perkara yang tidak diketahui betul salahnya, maka hendaklah dipastikan kebenarannya terlebih dahulu kerana mungkin akan menyebabkan kita menyalahkan pihak yang lain tanpa usul periksa. Perkataan 'fasiq' ini jelas merujuk kepada orang yang datang dengan sesuatu perkara yang tidak benar, malah dikhuatiri akan menimbulkan fitnah yang lebih besar. Mahukah kita menjadi orang yang fasiq? Istaghfirullah....

Sahabat,
Jika sekalipun kita berlainan cara, maka janganlah dicipta lagi perbezaan yang lain kerana kita sememangnya sahabat, sama-sama berjanji atas nama da'wah ini. Seharusnya kita membantu antara satu sama lain. Dalam alam da'wah ini, tiada istilah aku yang benar, engkau yang salah sebaliknya aku membantumu dan engkau menolongku.Raikan perbezaan antara kita, leraikan persengketaan yang ada, rancakkan rencana dakwah yang dirangka, insya ALLAH syurga itu kan menanti kita...

Wallahua'lamu bissowaab..

Dari mata hati satu rantai yang menyambung rantai-rantai perjuangan ini....