Jumaat, Februari 27, 2009

HAYYA BIL 'ARABIYYAH : Sudut Baru

Assalamu'alaikum...

Dalam ruang masa yang terhad ini, saya telah membuat penambahbaikan pada blog saya ini. Hehe. Ruang 'Hayya Bil 'Arabiyyah' seperti yang boleh dilihat di ruangan belah kiri blog saya yang cukup dha'if ini. Sebenarnya dah lama teringin nak buat, cuma tak tau nak mule dgn perkataan apa. Bukan ape, nak berkongsi jugak sedikit sbyk ilmu Lughah 'Arabiyyah yang sangat indah ini dengan para pembaca. Setakat yang mampu lah. Kebetulan dalam kelas Tilawah Al-Quran II Rabu lepas, dapat mufradat (kosa kata) baru iaitu MANJA. Boleh bace la yang kat tepi ni. Baiklah, tak boleh lama, nak pegi kelas Munazharah bil 'Arabiyyah (Debat Bahasa Arab). Kang angin pulak ustaz tu. Huhu.

Akhir kata, satu syair arab :

Err..x ingat pulak. Maklum, nak cepat. Nanti saya letakkan k. Maaf (name pun manusia).

Wallahua'lam, siiru 'ala barakatillah.. =)

Isnin, Februari 23, 2009

Hati ini...

Saya baru menerima kiriman e-mail forward dari seorang kawan. Kawan sekolah menengah dulu. E-mail ini telah menyentuh hati saya. Walaupun isinya mungkin biasa bagi kita. Tapi dalam keadaan sekarang, inilah yang berada dalam lubuk hati saya. Bacalah e-mail ini...

Tangan Yang Indah
(Kepada sesiapa yang masih ada ibu... )

Ketika ibu saya berkunjung, ibu mengajak saya untuk shopping bersamanya kerana dia menginginkan sepasang kurung yg baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi membeli belah bersama dengan orang lain, dan saya bukanlah orang yang sabar, tetapi walaupun demikian kami pergi juga ke pusat membeli belah tersebut. Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan ibu saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya. Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak2 kecewa di wajah ibu.

Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, ibu saya mencuba satu baju kurung yang cantik . Dan kerana ketidaksabaran saya, maka untuk kali
ini saya ikut masuk dan berdiri bersama ibu saya dalam fitting room, saya melihat bagaimana ibu mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya, seketika ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya berbalik pergi dan cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan lagi, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu ibu mengenakan pakaiannya.

Pakaian ini begitu indah, dan ibu membelinya. Shopping kami telah berakhir, tetapi kejadian tersebut terukir dan tidak dapat dilupakan dari ingatan ..
Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap saja kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan ibu saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan terlebih dari semuanya, berdoa untuk saya, sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya. Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar ibu saya mengambil tangannya, lantas menciumnya ... dan yang membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahwa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur bahwa Tuhan telah membuat saya dapat melihat dengan sejelasnya, betapa bernilai dan berharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu.

Saya hanya dapat berdoa bahwa suatu hari kelak tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban, segala ciptaan Tuhan yang begitu agung, tetapi tak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu...


* Saya tidak pasti sumber cerita ini, tapi apa yang pasti e-mail ini benar2 menyentuh hati. Terkenang ummi di rumah. Pengorbanannya yang melimpah ruah, dari saya sekecil-kecil manusia, hingga sebesar ini. Maafkan akak ummi, tak daya untuk pulang ke rumah walau hanya seketika. Saya sebenarnya sedikit terkilan, walaupun semalam baru habis program Tamrin Nisa' di Gunung Dato' Rembau, tak dapat juga pulang. Maklum saja program, mana boleh keluar. Kalau jadi komiti mgkn boleh excuse kejap. Ummi dah banyak kali bagi 'sign', bahawa dia rindukan anaknya. Ayah pun begitu.

"Nanti dah sampai, bagitau la ummi" Tiba2 sampai mesej ni ke handphone. Pelik+dapat agak.
"Mi, silap hantar mesej ke? Hehe" saya balas.
"A'ah la kak. Haaii, tu tando apo tu?" ummi pula balas.

"Asmkm. Senyap je. Sihat x? Banyak keje ke?"
Minggu lepas mesej ini saya terima dari ayah.

Ayah memang jarang mesej. Tapi kalau dh mesej ni, maksudnya dah rindu la tu. Huhuhu.

Tuntutan terhadap ummat memerlukan saya untuk berkorban. Berkorban segenap segi, hatta masa untuk keluarga. Inilah harga yang perlu dibayar bila sekali meletakkan diri dalam jalan ini.Ancaman terhadap aqidah umat Islam khususnya di Malaysia, memerlukan kita untuk sama-sama punya ilmu dan aqidah yang benar dan kuat untuk menangkis, sekaligus berusaha menyelamatkan umat dari terpesong. Allah menyatakan bahwa adakah benar seseorang itu benar2 beriman, sedangkan dia belum betul2 diuji. Saya hanya mampu berdoa dan berharap, supaya Allah memelihara keluarga saya. Ummi dan ayah, juga adik2 saya yang 4 orang tu. Nampaknya belum juga mampu jadi seorang anak dan kakak yang bertanggungjawab.

Hanya sekadar muhasabah untuk diri. Peringatan untuk diri yang sering lupa. Semoga segala yang dilakukan mendapat hasil yang baik, kerana kita tak punya banyak masa, hanya 24 jam sehari. Kata as-Syahid Hassan al-Banna : tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Hanya orang2 yg bijak mampu mengurus diri dalam mengejar pintasan masa.


Wallaahu ta'ala A'lam..

Rabu, Februari 11, 2009

Respon terhadap kenyataan GPMS

Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan rasmi Presiden GPMS, Dato’ Reezal Merican Naina Merican yang bertajuk “Isu PPSMI: GPMS Tolak Bawa Isu Pendidikan ke Jalanan” yang merujuk kepada Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) pada 31 haribulan lalu.

Kenyataan tersebut menggambarkan ketidakprihatinan GPMS terhadap perkembangan isu PPSMI, baik yang melibatkan gelombang penentangan mahupun sikap tidak acuh dan terusan bertahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Beliau menyebut bahawa “mengumpulkan khalayak, khusus dalam menyatakan rasa tidak puas hati dengan isu PPSMI adalah suatu yang tidak wajar dan mungkin mengundang pelbagai polemik yang lain” selain menegaskan agar isu PPSMI ini diperhalusi secara bijaksana menerusi perkongsian pemikiran yang ikhlas adalah pandangan yang kurang berhikmah dan tidak mesra sejarah.

Setelah sekian banyak hasil-hasil kajian, forum dan persidangan yang bersifat ilmiah, memorandum dan nota bantahan yang dipanjangkan kepada pihak yang berwajib tidak mendapat respon yang memberangsangkan malah ada yang dibakulsampahkan, apakah sangat menguntungkan sekiranya kita masih lagi berdiam dan berpeluk tubuh?

Apakah berhikmah sekiranya di tengah-tengah medan perang masih lagi tunduk dan tawadu’, berbicara secara bermadah dengan harapan mampu melembutkan hati pihak lawan?

Kami ingin menegaskan pendirian kami bahawa dalam suasana semasa yang mendambakan tindakan yang lebih radikal, penentangan menerusi gerakan ilmiah di satu sisi tidak lagi relevan dan dianggap kurang berkesan. Perkara tersebut telah kami persetujui bersama dalam mesyuarat Kumpulan Prihatin yang turut menampilkan tokoh-tokoh bahasa dan sejarawan besar negara seperti Profesor Emeratus Dato’ Abu Bakar Hamid, Profesor Emeratus Abdullah Hassan, dan Datuk Bahaharudin Zain serta lain-lain.

Kami meraikan pandangan GPMS agar menjurus kepada gerakan berbentuk akademik. Justeru, partisipasi aktif dalam diskusi bersama para ilmuan dan persidangan meja bulat yang dianjurkan KPM jelas mengambarkan komitmen dan prinsip kami yang tidak akan sama sekali berkompromi terhadap usaha membelakangi peranan ilmu yang menjadi teras dalam menjawab secara tuntas segala permasalahan dan merungkai segala kerumitan rakyat.

Namun, kami turut berpegang kepada prinsip hikmah seperti mana yang terkandung dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “serulah kepada jalan Tuhanmu (kebenaran) dengan hikmah dan nasihat yang baik-baik, bertukar fikiranlah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui sesiapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin”.

Mohammad Natsir dalam bukunya Fiqhud Da’wah, menguraikan hikmah sebagai mengenal golongan yakni memastikan cara yang tepat dan efektif dalam menghadapi golongan tertentu dalam suasana tertentu selain berkemampuan menggerakkan sesuatu tindakan yang bermanfaat.

Selain itu, Sheikh Muahammad Abduh dalam Tafsir Al-Manar, menta’rifkan hikmah sebagai, “ilmu yang sahih (benar dan sihat) yang menggerakkan kemahuan untuk melakukan sesuatu perbuatan yang bermanfaat”.

Justeru, dalam konteks gerakan jalanan atau kata lainnya demonstrasi yang sering disalahertikan sebahagian besar masyarakat, kami merasakan bahawa terdapat keperluan yang mendesak dan ia merupakan strategi dan taktik terbaik dalam usaha mengenengah dan merakyatkan isu PPSMI ini.

Perhimpunan raksasa yang dirancang bukan bertujuan menghina atau mejatuhkan mana-mana pihak, tetapi sebagai tanda protes rakyat terhadap kecelaruan dasar yang sedia ada. Kebebasan rakyat untuk berkumpul, mengkritik (hurriyat al-mu’aradah) dan menyatakan pandangan (hurriyat al-ra’y) tidak harus dinafikan seperti yang disebut Hashim Kamali dalam bukunya Freedom of Expression in Islam.

Oleh itu, setelah memperincikan setiap perkara, atas paksi kebenaran dan prinsip hikmah, tanpa terikat dengan mana-mana sentimen politik kepartian, kami secara terbuka menyokong tindakan Dato’ Dr Hassan Ahmad selaku Pengerusi GMP dan seluruh jentera mahasiswa dan rakyat yang berkesedaran untuk menghimpunkan jutaan rakyat dalam satu perhimpunan raksasa pada 7 Mac hadapan.

Justeru, kami menyeru kepada seluruh masyarakat, para ibu bapa, guru-guru, mahasiswa dan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (BBK) dan parti-paarti politik serta yang terutama para pejuang bahasa di seluruh negara agar dapat berkumpul bersama menyatakan bantahan terhadap PPSMI.

Kami juga berharap agar semua pihak lebih matang, terbuka, dan berhikmah dalam menangani isu PPSMI ini. Komitmen dan kesungguhan semua harap dapat dikekal dan ditingkatkan agar tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.


“Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa”


ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Merangkap AJK Gerakan Mansuh PPSMI (GMP)

Isnin, Februari 09, 2009

Kenali Tn. Guru Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi

Sumber: Arkib Utusan Malaysia
Ruangan: Bicara Agama
Arkib: 13 Februari 2006
Tajuk: Muhammad Fuad Azam Hasilkan Empat Kitab Sebulan
Penulis: Tarmizi Abdul Rahim

PEPATAH Arab menyebut, "masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita." Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia' Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada 'kulit ke kulit'.

Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.

Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.

"Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

"Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

"Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.

Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.

Disiplin

Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.

Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.

Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

"Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

"Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

"Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.

Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.

"Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan," katanya.

Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

"Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.

Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.

"Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat," katanya.


* artikel ini di 'salin' dan 'tampal' dari blog akhi naim www.akhienaim.blogspot.com. Syukran jazilan abg naim, dh lame mencari artikel mengenai Tn. Fuad ni.. Inilah ulama yang harus kita sanjungi dan contohi, sama2 cari peluang untuk menuntut dengan beliau.. Saya secara peribadi bersyukur dengan adanya 'alim seperti beliau, setidak-tidaknya dari bumi Neger Sembilan, ada pancaran da'wah yang sedang menyinar.. InsyaAllah, bi iznihi Ta'ala...