Selasa, Ogos 25, 2009

Cahaya Mata di Ramadhan


"Alhamdulillah. Isteri saya nurul azreen telah selamat melahirkan seorang putera pd jam 1tgh tadi di Hospital Seremban.- Kamarul"

Begitu bunyi SMS yang saya terima jam 1.50pm tadi. Alhamdulillah, bertambah seorang lagi cahaya mata penyeri keluarga Sdr. Kamarul Ariffin Mohd Wafa (Setiausaha Agung ABIM NS) dan isteri, Nurul Azreen Hamzah. Dengan kelahiran bayi lelaki ini, saya kira lengkap sudah keluarga Abg Kamarul dan Kak Nurul yang sebelum ini telahpun dikurniakan seorang puteri yang sangat comel, namanya Adlina Husna. Memang sangat comel, lebih kepada iras Umminya. Hehe jangan marah abg Kamarul. Semoga dengan kehadiran bayi tersebut menambah berkat dan seri dalam kehidupan mereka sekeluarga, apatah lagi kelahirannya di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan keampunan ini.
Saya teringat sebuah lagu yang selalu dinyanyikan untuk Adlina oleh Ummi dan Ayahnya masa dia kecil lagi dulu. Seingat saya waktu itu dia baru dapat bertatih. Kebetulan waktu itu saya selalu ke ABIM NS, untuk urusan program dsb. Jadi selalu juga berjumpa Adlina. Hanya tersenyum dan ketawa mendengar Ummi dan Ayahnya menyanyi. Comel sungguh! Mungkin lagu ini akan diwariskan kepada anak-anak mereka yang lain nanti. Begini lebih kurang lagu itu :
Mana Adlina..mana Adlina..
Sini saya..Sini saya..
(pastu x ingat ape..huhu..maaf)
Sembunyi..sembunyi..
(comel kan..)MySpace

Alhamdulillah, nampaknya anak-anak buah para 'makcik' dan 'pakcik' PPINS makin bertambah. Lepas ini kami menunggu pula 'anak buah' yang seterusnya, dalam masa tak sampai dua bulan lagi. Menunggu kelahiran cahaya mata penyejuk hati pasangan Sdr. Jufitri Joha dan Norazla Abd Wahab, yang lebih mesra dipanggil Abg Ju dan Kak La oleh adik2. Juga anak mereka yang kedua, insya ALLAH.

Saya mewakili PPINS seluruhnya mendoakan semoga setiap zuriat yang dikurniakan kepada para senior kami akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam mendidik anak-anak. Dan semoga anak-anak tersebut diberikan kecerdikan, kesihatan tubuh badan yang sempurna dan akhirnya nanti berjuang demi agama tercinta. Aamin.


Doa untuk mendapat zuriat yang soleh dan solehah :

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء

Rabbi habb-li min ladunka zurr-rie-ya-tan thoi-yii-ba-tan in-na-ka sami-ud dua’
Wahai tuhanku! Kurniakanlah kepada ku dari sisi Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Maha Menerima doa Permohonan. (Ali 'Imran : 38)
* tahniah jugak buat kak dyll yg menerima anak buah yg pertama..dh jadi makcik nampaknye.. MySpace
* PPINS kene pegi ziarah 'anak buah' baru nih.. MySpace

Khamis, Ogos 20, 2009

Bagaimana Mengurus Dan Membersihkan Hati Anda?


ASSALAMUALAIKUM… Buat semua Sahabat Fitrah. Hati ibarat ketua dalam diri anda manakala anggota tubuh adalah pekerjanya. Jika kuat ketuanya, maka pekerjanya juga akan kuat. Begitu juga apabila ketuanya positif dan berwawasan maka pekerjanya juga positif dan aktif bergerak merealisasikan wawasan ketua.

Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah hati yang suci murni. Namun jika hati tidak diurus dan dijaga dengan bersungguh-sungguh, ianya secara semulajadinya amat mudah dikotori dan dicemari. Namun, bagaimanakah caranya menguruskan dan membersihkan hati? Berikut adalah cara terbaik yang dianjurkan untuk membantu kita menyucikan kembali hati yang kurang jernih.

Sebagaimana hadis Riwayat Muslim:“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

1. Banyak meluangkan masa untuk muhasabah diri.
Waktu terbaik untuk muhasabah diri adalah selepas selesai solat fardhu. Ambillah sedikit masa untuk duduk diam seketika selepas selesai solat dengan melihat dan merenung kembali kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diri. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki.

Waktu yang terbaik juga untuk muhasabah diri adalah beberapa ketika sebelum terlelap pada waktu malam. Soalan yang harus ditanyakan dalam diri ialah “ Apa yang sudah saya lakukan sepanjang hari ini?”

2. Terima hakikat tiada kejayaan sebenar di dunia ini.
Terimalah hakikat bahawa kejayaan di dunia ini bukanlah ukuran kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT, kita dikurniakan syurga. Kejayaan yang dikecapi di dunia adalah subjektif, dan ianya berbeza mengikut individu. Hati akan mudah terubat apabila kita membisikkan “ tidak ada yang sempurna di dunia ini,” apabila menemui kegagalan di dalam sesuatu usaha.

3. Berusaha mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri
Ramai yang tidak percaya akan kewujudan dan kepekaan pancaindera yang keenam iaitu “pandangan mata hati”. Namun begitu, ilmu berkaitan dengan diri sendiri mudah diperoleh jika kita menggunakan pancaindera ini, dan dengannya juga kita mampu melihat dan menilai segala kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri. Namun bagaimanapun pancaindera ini akan lebih efektif sekiranya diri kita selalu dekat dengan Allah dan patuh kepada setiap perintah-Nya.

4. Belajar daripada orang lain.
Belajar daripada orang lain adalah sebahagian daripada proses kehidupan dan perkembangan seseorang manusia. Proses pembelajaran ini akan lebih berkesan dengan melihat setiap perkara yang berlaku di sekeliling dengan kaca mata seorang pelajar dan digabungkan dengan pandangan mata hati hendak belajar. Melalui proses inilah segala yang buruk dapat dijadikan pengajaran untuk dihindari manakala perkara baik yang ditemui, tempuhilah sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Ingatlah, orang yang bijaksana menjadikan semua perkara di sekelilingnya sebagai tempat belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti hatinya.

Ahad, Ogos 16, 2009

'Deria Rasa' Ukhwah

Assalamu'alaikum..

Tengahari Jumaat lalu, saya berjumpa seorang akhi bagi membincangkan urusan jemaah. Agak banyak yang kami bincangkan. Perjumpaan itu lebih kepada mengatur perancangan jemaah secara kasar. Sesungguhnya terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan. Segalanya bergantung kepada kekuatan para pimpinan untuk melaksanakan, selain taqdir Allah yang memberi keizinan ataupun tidak.

Agak lama kami berbincang, di tempat terbuka. Selesa berbincang dengannya, kerana akhi ini bagi saya seorang yang cukup bagus. Kekaguman dalam diri seawal perkenalan. Seorang abang yang mempunyai sudut pandang yang jauh. Kata-katanya bagiku, sering sahaja membuatku tersedar dari alpa. Moga ALLAH memelihara dirinya dalam dakwah ini.

Selesai perbincangan, beliau segera berlalu memandangkan waktu solat Jumaat hampir tiba. Tetapi entah mengapa terdetik di fikiranku :

"Bila birthday Abg Wan eh?"

Aku mula memikirkan persoalan ini, hakikatnya sehingga malam. Aku ingin bertanya pada seorang ukhti, yang juga cukup aku kagumi dan sayangi. Namun entah mengapa tidak jua tangan ini mencapai handphone dan bertanyakan melalui SMS. Persoalan itu ku biarkan, entah mengapa.

Tiba-tiba selepas Maghrib (lebih kurang), SMS ku terima dari ukhti tadi.

"Besday a.wan bile?"

Subhaanallah, rupanya kami berkongsi 'deria' yang sama. Aku membalas SMS tersebut mengatakan aku juga memikirkan perkara yang sama. Rupanya memang hari Jumaat itulah hari lahir akh tadi.

Terperanjat dalam kekaguman! Apakah deria yang ada padaku secara tiba-tiba hari ini? Subhaanallah. Mungkin inilah kekuatan ukhwah Islamiyyah ini. Mungkin perkara ini nampak ringkas sahaja pada anda yang sedang membaca, tapi tidak bagi saya. Peristiwa ini cukup istimewa bagi saya, sehingga saya mengabadikannya di dalam entri ini.

Lalu saya hantar ucapan selamat melalui SMS kepada Abg Wan, yang pada malam itu telahpun berada di KDH, untuk satu program bersama adik-adik PAUIAM Nilai.

Seringkali berlaku, samada kita sedar atau tidak, perkara-perkara yang secara tidak sengaja berlaku. Terkadang kita memikirkan perkara-perkara yang sama, segalanya sama sehingga kata-kata yang terlahir dari bibir pun turut sama. Inilah dia hakikatnya bila hati-hati telah bersatu dalam Trilogi Wihdah : Wihdatul Fikr (kesatuan pemikiran), Wihdatul 'Amal (kesatuan gerakerja) dan Wihdatul Qalb (kesatuan hati).

"Segala yang berlaku pasti terselit hikmahnya. Yang penting kita bertahan di landasan ini, dengan kesejahteraan langkah dan kejelasan pemikiran.."

~Hidup Biar Berjasa, demi Islam tercinta~

* sebenarnya ada satu lagi kejadian yg melibatkan deria rasaku. Dan kejadian itu sebenarnya lebih dahsyat dari kejadian ini. Sungguh memang tepat dugaanku pada waktu itu. Namun, siapalah aku untuk menolak taqdir Allah, tidak kira baik atau buruknya ia..
*Syukur atas kurniaan deria rasa ini, dan aku nekad setiap kali ia datang, aku akan gunakan dengan baik sehingga aku tak menyesal kerana 'membiarkan' deria rasa itu lenyap. Kerana ia datang cuma seketika..

::ummunu'aim::
CC Maryam, 3.00pm
16 Ogos 2009



Pertama dan terakhir bersama Ustaz Asri


Assalamu'alaikum..

Terkedu mendengar perkhabaran dari Ummi pagi Jumaat yang lalu. Ustaz Asri b. Ibrahim, ikon penasyid yang disegani telah kembali ke Rahmatullah akibat serangan jantung secara tiba-tiba ketika ingin mengadakan persembahan sempena majlis perasmian program Syahadah terbitan Astro musim kelima. Lagi berita di sini.

Saya secara peribadi merasa sedih di atas pemergian beliau. Kariernya sebagai pendakwah melalui medium nasyid bermula seawal penglibatan beliau di dalam kumpulan Nada Murni. Alunan lagu yang menyentuh hati dan sampai di jiwa menjadi imej kumpulan ini. Lagu-lagunya masih segar dalam ingatan, bagai bersiulan dalam sanubari.

Terimbau kembali kenangan bersama Allahyarham, beberapa bulan yang lepas. Kebetulan di UIAM ada karnival pelajar. Kumpulan Rabbani datang ketika itu untuk mempromosi Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul. Mereka menjemput mana-mana pelajar untuk tampil ke pentas menjawab soalan. Sesiapa yang dapat menjawab soalan akan diberikan hadiah. Entah bagaimana seorang teman saya dipilih untuk naik ke pentas. Melihatkan tiada siapa yang nak menemaninya, saya pun mempelawa diri untuk naik ke pentas bersama-sama. Selebihnya rasa malu kerana kami di ketika itu telah menjadi perhatian semua yang ada di situ. Berada di atas pentas dengan sebuah kumpulan nasyid hebat memberi rasa yang cukup gemuruh. Apatah lagi yang menyoal kami itu ialah Ustaz Asri sendiri. Sesungguhnya itulah pengalaman kali pertama dan terakhir saya secara peribadi bersama Allahyarham, cuma seketika. Mungkin ada hikmahnya, tidak terjangka pula selepas beberapa bulan dari peristiwa itu, Allah s.w.t memanggilnya pulang.



sedang membuat persembahan...




Allahyarham bersama Rabbani..sedang mencari-cari siapa yang nak naik ke pentas..


bersoal jawab..


Malam Jumaat (awal pagi Sabtu) yang lepas, saya mendengar radio IKIM, slot zon artis. Kebetulan slot kali itu khusus sempena mengenang Allahyarham, dan DJ yang bertugas ialah Ustaz Erwan Johari. Sayu hati mendengar ucapan-ucapan takziah dari para peminat dan kenalan. Terasa sepi sungguh pagi itu. Dimainkan pula lagu-lagu yang pernah didendangkan oleh Allahyarham bersama Rabbani. Antaranya Anak Soleh dan Subuh Yang Terakhir. Slot itu diakhiri dengan lagu hits Rabbani pada tahun 2000 ketika Rabbani mula membuat perubahan pada genre muzik yang mereka bawa, iaitu Pergi Tak Kembali. Jika dahulu beliau sering menyampaikan lagu tersebut untuk para pendengar semasa masih hayatnya, nyatanya sekarang lagu itu beliau 'dendangkan' dalam keadaan beliau sudah berada di alam yang lain.

Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Asri, takziah diucapkan. Teruskanlah kehidupan dengan penuh ketabahan. Juga kepada Rabbani, perjuangan takkan pernah henti. Semoga terus istiqamah dalam dunia nasyid demi memberi mesej-mesej Islami kepada masyarakat.

Kata-kata Allahyarham yang dipetik dari laman blog beliau :

"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat, aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku..."

Semoga rohnya ditempatkan bersama para Solihin dan moga Allah menerima semua amalan beliau semasa masih hayat..

Al-Faatihah..

*semenjak dua ini memang asyik ingin mendengar lagu-lagu Nada Murni..

Jumaat, Ogos 07, 2009

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN



PENGANJUR
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM)

TEMA
Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur

TARIKH
8 Ogos 2009 (Sabtu)

TEMPAT
Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur

SASARAN PESERTA
1. Pimpinan pelajar sekolah
2. Pimpinan Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi
3. Pimpinan Institusi dan Badan-Badan Bukan Kerajaan
4. Pegawai-Pegawai Kerajaan dan Pembuat Dasar


Objektif Kongres

1. Memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang.

2. Merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

3. Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’.

4. Menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Pendaftaran Peserta

Untuk penyertaan, sila daftarkan diri kepada;
En. Abu Qasim Nor Azmi : 019-356 5805
En. Ahmad Fahmi Samsudin : 0132226925
Cik Sakinah Budiman : 013-212 4590

Tentatif

Sabtu, 8 Ogos 2009

0730 Sarapan pagi untuk peserta MPAT ke-48
0745 Para peserta MPAT PKPIM 48 bergerak ke Dewan Utama Wisma Belia
0800 Pendaftaran peserta kongres
0845 Perarakan masuk barisan exco PKPIM bersama Presiden
0900 Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dan Ucapan Dasar Presiden
0900 Aluan Pengerusi Majlis
Bacaan doa
Alunan lagu Negaraku
0910 Ucapan Aluan Pengerusi Jawatankuasa Induk
0915 Ucapan Dasar MPAT PKPIM ke 48: “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur”
Oleh: Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM

1000 Rehat
Ketibaan para tetamu jemputan
Ketibaan tetamu kehormat
Perarakan masuk tetamu jemputan dan Perasmi
Perasmian Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke-48 PKPIM dan Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan

1005 Aluan Pengerusi Majlis
1010 Ucapan Aluan Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM
1020 Ucapan Aluan YBhg. Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM
1030 Ucap Utama Perasmian Oleh: YBhg. Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2
1115 Pelancaran Buku : Sejarah dan Perjuangan PKPIM
Persembahan Multimedia
Penyerahan cenderamata
1130 Sidang Media dan Jamuan Ringan

1200 Sidang 1: “Kepentingan Memahami Sumbangan dan Peranan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”
Oleh: YBhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Fellow Utama ATMA, UKM
Pengulas: 1. YBhg. Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Tim. Dekan IRK UIAM

1330 Makan tengahari
Solat Zuhur
1430 Sidang 2 (Sesi Selari)
1. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”Oleh: YBhg. Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM
Pengulas : 1. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM

2. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri” Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM
Pengulas: 1. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus, TERAS
2. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM

3. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM
Pengulas: 1. Daniel Alexander, TAC
2. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM

1600 Sidang Khas: ”Halatuju Negara: Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”
Oleh:
1. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM
2. Mohd. Syamsul Salleh, Jurucakap MPPK
3. Ichsan Ketua Komunikasi Pelajar Islam Indonesia (PII)

1730 Pembentangan Penegasan Kongres
Oleh: Pengarah
1800 Solat ’Asr
Minum petang
Bersurai

Lagi maklumat lanjut di sini. Terbuka kepada semua warganegara Malaysia ^_^

Rabu, Ogos 05, 2009

Mahasiswa Islam berdakwah atau berpolitik?

Oleh Saifuddin Abdullah

DALAM tempoh dua minggu ini, terdapat dua program penting melibatkan mahasiswa Islam.Pertama, pelancaran Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai lalu.
Program kedua ialah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 8 Ogos ini. Ia dianjurkan sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM Ke-48 dan pelancaran buku PKPIM, Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011).

Kelab Damai IPTA ialah program terbaru DAMAI yang diperbadankan pada 2006. DAMAI ialah sebuah organisasi masyarakat sivil Islam. Ia bertujuan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama gerakan Islam melalui satu gagasan bagi mencapai matlamat kecemerlangan semua bidang dan aktiviti dalam lingkungan syariah.

Kelab Damai IPTA berfungsi sebagai perantara persatuan Islam di kampus dengan penyaluran bantuan dan sokongan untuk aktivitinya. Ia berperanan merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi membantu memperkasa persatuan-persatuan tersebut.

Penubuhan kelab ini selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 apabila mahasiswa dibenarkan bergabung dengan organisasi luar kampus. Bagi PKPIM – yang hampir terkubur akibat pindaan AUKU (1975) – program MPAT kembali memungkinkan mahasiswa Islam menghadirinya.

Pindaan AUKU (2009) kelihatan menjanjikan gerakan mahasiswa Islam yang makin rancak. Tetapi adakah kerancakan itu akan menyamai atau mengatasi zaman keemasan gerakan mahasiswa era 1960-an hingga 1974? Adakah ia akan menandingi kerancakan ketika melonjaknya era dakwah kampus mulai 1970-an? Atau, adakah ia akan menghasilkan sesuatu yang baru? Hanya gerakan mahasiswa Islam yang ada jawapannya.

Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar Islam di Malaysia bermula pada 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Asia Barat. Mereka dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang memulakan gerakan keilmuan Islam ke arah pembangunan sosioekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.

Tetapi, jika menggunakan istilah “mahasiswa Islam”, tanda permulaan misalnya boleh merujuk kepada peranan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), yang antara sumbangan awalnya ialah mendesak kerajaan membina masjid berhampiran kampus tersebut.
Ini diikuti dengan penubuhan PKPIM di Asrama Kedua UM pada 1961. Tujuan asalnya ialah menggabungkan semua persatuan pelajar Islam selain menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini dengan persatuan pelajar Islam luar negara.

PKPIM ditubuhkan kerana merasakan dua buah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan yang sedia wujud ketika itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan mahasiswa dan pelajar Islam.

Ketiga-tiga persatuan mahasiswa dan pelajar di peringkat kebangsaan ini menjadi sebahagian gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu badan induk bagi gerakan belia.

Sedekad selepas penubuhannya, iaitu pada 1971, PKPIM bersama-sama dengan PMIUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), menjadi pelopor program Gerakan Kempen Kesedaran (GKK). Ia untuk menimbulkan kesedaran mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati pembangunan negara dan menyampaikan dakwah serta menekankan keperluan perubahan sikap sesuai dengan tuntutan masa.

Pada tahun yang sama, PKPIM menganjurkan seminar yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam. Seminar itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya, yang kemudiannya menjadi dewan besar Kampus Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila ditubuhkan kira-kira sedekad kemudian.

Apabila AUKU dipinda pada 1975, PKPIM bingkas menentangnya, dan sehinggalah AUKU dipinda pada 2009, ia merupakan pertubuhan pelajar paling lama dan konsisten perjuangannya berhubung AUKU. Mutakhir, dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai lalu, antara lain, terdapat ‘saham’ PKPIM di dalamnya.

Namun, sumbangan terpenting ialah penyuburan program dakwah dan tarbiah serta tradisi intelektual Islam di kalangan mahasiswa.

Menjelang dekad kelima kewujudannya, Presidennya, Mohd Hilmi Ramli berkata, kongres pada Sabtu ini bertujuan memberi makna dan kefahaman jelas akan teras-teras kenegaraan dalam mendepani isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia. Ia juga untuk merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat.

Kongres ini juga ingin mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan “1Malaysia” dan gagasan “Politik Baru”.

Sejak bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sering diajukan dengan soalan: Apakah sebenarnya teras pendekatan gerakan mahasiswa Islam – berdakwah atau berpolitik?
Saya tidak pasti apakah soalan ini sebagai mengimbau frasa yang dipopularkan bekas Ketua Dewan Dakwah Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir, “berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah”, atau dibuat atas niat lain.

Pada saya, umumnya gerakan mahasiswa Islam kita adalah berteraskan dakwah dan tarbiah. Ada yang turut membicara dan menyuarakan soal-soal politik. Dalam hal ini, kita perlu menganalisisnya dengan kebenaran dan keadilan.

Sebagai contoh, ia tidak bertentangan dengan AUKU (2009). Kita juga tidak mahu jika ia langsung tidak mempedulikan politik. Begitu juga, ada perbezaan antara suara politik kepartian dengan politik non-partisan.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengehakupayakan gerakan mahasiswa Islam dalam memenuhi makna ayat al-Qur‘an: “Sesungguhnya mereka itu orangorang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Al-Kahfi: 13)


DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0805&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive

Selamat Maju Jaya Wahai Adik-adikku!

"Assalamu'alaikum.." kedengaran suara di hujung talian.

"Wa'alaikumussalam.." saya menjawab, sedikit hairan kerana pemilik suara di sebelah sana ialah lelaki.

"Kenal lagi tak ni?" tanyanya.

"Erm, sape ye? Maaf, tak perasan." Jawab saya, jujur saja. Memang tak perasan pun suara siapa.

"Ni Aizat la kak Tiqah. Ingat lagi tak?"

"Ooh aizat. Mestila akak ingat. Aizat sihat?" Rupa-rupanya salah seorang adik-adikku dalam Program Ayuh Jadi Cemerlang (AJC '09) di SMKA Pedas, Rembau sebulan yang lepas.

"Alhamdulillah sihat kak. Akak pulak?" Bunyinya ceria, mungkin gembira kerana saya masih mengenalinya. Mana boleh lupa, lagipun program itu baru saja berlalu.

Seterusnya perbualan kami berkisar tentang perkembangan pelajaran Aizat dan kawan-kawannya yang lain. Mereka semua pelajar tingkatan 3, yang akan menduduki PMR pada tahun ini. Saya ditugaskan sebagai fasilitator untuk Kumpulan 12 dalam program itu. Adik-adik dalam kumpulan itu ada belasan orang, tak ingat pula jumlah sebenar. Huhu. Tapi yang pasti memang semuanya bagus-bagus. Cuma pada mulanya segan-segan. Dalam kumpulan tu ada banyak watak. Aizat yang malu-malu 'berisi', Habib yang sempoi, Udin yang comel (hehe), Faiz yang bagus, . Adik-adik lelaki semuanya 5 orang, jadi senang nak ingat. Adik-adik yang perempuan lebih ramai. Dhira yang bersemangat waja, Bahirah yang sentiasa tersenyum, dan ramai lagi. Maaf tak dapat sebut semua. Huhu.

Kelmarin, mereka menelefon saya lagi. Untuk kali yang ke berapa, saya pun tak ingat. Sebab dah banyak kali. Tapi kali ini, Habib yang bercakap. Segan pulak, sebab adik-adik yang 'follow-up' kakak fasinya. Sepatutnya saya yang turun menjenguk, tapi maklum sahaja dengan situasi di kampus ni, tak membolehkan saya untuk ke sekolah itu. Aizat pula dah banyak kali tanya, -bila akak nak datang?- Serba salah saya dibuatnya. Tapi insya ALLAH, dengan izin Allah kami para fasilitator AJC '09 akan turun lagi ke sekolah itu untuk program MENARA yang telah banyak kali tertangguh. Sebelum hujung tahun ini. Saya hampir terlupa bahawa bermula 3 Ogos, adik-adik saya ini akan menghadapi Peperiksaan Percubaan PMR. Sempat saya menitip kata-kata semangat dan motivasi, supaya mereka terus berusaha. Yang mengharukan saya ialah mereka rajin berpuasa. Setiap kali mereka menelefon pasti pada waktu sebelum Maghrib, dan bila ditanya, mereka berpuasa, sedang menunggu waktu berbuka. Alhamdulillah, adik-adikku nampaknya benar-benar berusaha untuk cemerlang dalam peperiksaan, supaya mereka boleh cemerlang di dunia dan akhirat. Aamin.

Untuk adik-adik Kumpulan 12 (AJC '09), adik-adik di SMKA SHAMS, dan seluruh pelajar Tingkatan 3 di Malaysia, diucapkan selamat menduduki Peperiksaan Percubaan PMR. Semoga beroleh kejayaan, dipermudahkan menjawab soalan.

Semoga ketemu lagi adik-adik..