Isnin, Disember 14, 2009

Pendirian PKPIM-ABIM dalam isu dana untuk rumah Ibadat bukan Islam

http://www.malaysiakini.com

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan memberi lebih perhatian kepada bukan Islam, termasuk menambah peruntukan untuk rumah ibadat mereka.

"Kita memahami apa yang disebut (oleh DAP), dan (ia) bukan berhasrat untuk mempertikaikan agama Islam," kata timbalan presidennya Amidi Abd Manan kepada Malaysiakini.

"Jadi kita menggesa kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada bukan Islam."

Beliau diminta mengulas kontroversi kenyataan ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming, di Parlimen berhubung peruntukan besar kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan tetapi kecil sahaja peruntukan untuk bukan Islam.

Kenyataan Nga, juga setiausaha DAP Perak, itu merujuk jawapan seorang menteri bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta untuk membina dan menyelenggara 611 masjid tetapi hanya RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam, iaitu 1.2 peratus sahaja.

Susulan kenyataan tersebut, beberapa tokoh dan NGO mempertikaikan Nga dengan alasan beliau tidak wajar mengungkitkan peruntukan untuk membina masjid kerana perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Amidi, yang kini memangku jawatan presiden Abim, berkata kerajaan seharusnya mengikut contoh Rasulullah yang bersikap adil kepada penganut agama lain sewaktu memimpin di Madinah.

"Jadi selaku kerajaan yang memerintah, kerajaan juga seharusnya mencontohi Rasulullah SAW, terutama dari sudut peruntukan kepada bukan Islam," katanya.

Beliau berkata, ABIM menyokong jika kerajaan juga memberi perhatian kepada kesejahteraan agama lain memandangkan masalah sosial yang semakin banyak berlaku.

Disoal sama ada kerajaan harus menambah peruntukan bukan Islam, Amidi berkata kerajaan bukan sahaja harus menambahkan peruntukan tetapi juga perhatian untuk melahirkan masyarakat beragama di Malaysia.

Bagaimanapun pembahagian itu juga harus menepati lunas Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

"Maka satu masyarakat yang beragama harus menjadi satu ciri kepada rakyat Malaysia," katanya.

"Ia juga membolehkan masyarakat agama lain mempraktikan ajaran agama mereka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak."

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) pula menyifatkan "tidak elok" dibandingkan peruntukan untuk masjid dengan rumah ibadat bukan Islam.

"Tidak elok dikaitkan bersama. Permohonan peruntukan (orang bukan Islam) boleh dimajukan tanpa dikaitkan dengan (peruntukkan) umat Islam," kata presidennya Zaid Kamaruddin.

"Penganut bukan Islam boleh memohon untuk rumah ibadat mereka secara berasingan."

Ditanya kewajaran kerajaan menambah peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam, beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keperluan rakyat dipenuhi tanpa mengira bangsa dan agama.

Manakala Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula berkata mengikut tafsiran Islam sebagai agama rasmi persekutuan, ia bermaksud kerajaan berhak mengeluarkan dana kepada orang Islam khususnya untuk pusat ibadat umat Islam.

"Jadi tidak timbul masalah ketaksamaan mengeluarkan dana kepada rumah ibadat Islam atau bukan," kata presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Mengulas kewajaran menambah peruntukan kepada bukan Islam, beliau berkata ia bergantung kepada keperluan masyarakat bukan Islam dan jumlah pertambahan penduduk bukan Islam di sesuatu kawasan.

"Populasi bertambah ramai, maka keperluan dana untuk rumah ibadat pun bertambah. Ia bergantung kepada keperluan. Tiada keperluan, tidak wajarlah ditambah.

"Begitu juga masjid atau surau, dana bergantung kepada keperluan pada satu kariah," kata Muhammad Faisal.

Rabu, Disember 09, 2009

Ujian-ujian ALLAH

Assalamu'alaikum..

Hmm.. Rasanya perlu juga meminta maaf sebab dah cukup lama tak menulis sesuatu di blog sendiri. Banyak perkara terjadi. (Banyak ke?) Yela, maklum jela semester 2 yang baru bermula.. Tugas makin bertambah. Dah banyak kali juga berniat untuk tutup blog ini. Entahlah, makin lama makin tiada perkara nak dikongsikan. Tapi biarlah.. Ada gunanya dan faedahnya blog ini pada diri sendiri, paling kurang saya akan sentiasa rasa 'bersalah' sebab tiada perkongsian ilmu dengan pengunjung blog ini. Di kala sibuk dengan sekian tuntutan2 yang ada.

Sekalung Takziah
Selepas pulang dari Rehlah PPINS di PD-Melaka pada Rabu 25 November lepas, ketika menunggu ayah di Hentian Bas Kuala Pilah, saya terima mesej dari Abg Abu, mengatakan Kak Diba (Adibah Ali, BARB, KPIJ, exco GEMPA PKPIM Pusat) mengalami kecelakaan jalanraya ketika pulang dari Jambori KPIJ. Hanya mampu tergamam dan mendoakan beliau. Beliau patah tulang pinggul dan kaki kanan, serta koyak di lutut kiri dan cedera di kepala. Allahu Rabbi.. Hanya dapat memikirkan dan mendoakan beliau, sehinggalah diberi keizinan Allah untuk menziarahi kakak saya ini pada Isnin berikutnya, 30 November. Ketika sampai, hati berdebar, dan sayu nak menatap wajahnya. Apabila merapatinya di katil, dia sungguh lemah, hanya mengadu kesakitan. Rupanya dah 5 hari tak makan dan minum. "Jangan paksa akak", itu kata2nya bila disuakan air ke mulut. Sebelum pulang, saya sempat membantunya makan ubat. Tapi tak ditelannya, mungkin kerana trauma dan sakit yang hebat. Bercucuran air mata saat dahinya saya cium. Sedih melihatnya begitu. Kakak yang dikenali semasa di Matrikulasi UIA dulu, kini diuji dengan hebat. Dia juga banyak mendorong saya. Terutama dalam pelajaran, kerana dia juga BARB, seperti saya.

Tak cukup dengan itu, Allah beri lagi ujian kepadanya. Tidak disangka ibunya yang kali pertama saya temui di tepi katil di hospital itu pergi meninggalkannya semalam, lebih kurang jam 2.30 petang. Jangkitan paru-paru. Diberitahu bahawa arwah mempunyai sakit yang lain. Ketetapan Allah telah tiba, walau dalam keadaan apa sekalipun dia mesti pergi. Di saat Kak Diba perlukan sokongan ibunya untuk kembali sembuh, ibunya pula pergi tak kembali lagi. Saya tak dapat ke Johor semalam, atas beberapa kekangan. Hanya kiriman Al-Fatihah, bersama niat untuk pergi menziarahi kemudian, insya Allah.

Saya fikir-fikir, ini ujian Allah untuk beliau (untuk kami juga), namun nanti apa pula ujian Allah bagi saya? Sungguh Allah tak akan memberi ujian melainkan apa yang mampu dipikul oleh hamba-hambaNya. Aku mohon ketabahan ketika di uji, Ya Rahman Ya Rahim..

"Ya Ilahi, aku mohon kau dakaplah hambamu Adibah bt. Ali yang kau uji sebegitu rupa agar dia tabah. Kau berikan semula kesihatannya seperti sediakala. Jadikanlah mereka di kalangan orang-orang yang sabar.. Aamin.."
Practical Training
Masuk saja sem baru ini, ada perkara utama yang perlu direncana dan dilaksanakan. Selain perencanaan jemaah, dan WAFA, saya juga nak menguruskan permohonan untuk latihan praktikal pada sem3 nanti. Namun nasib yang nampaknya tak menyebelahi, saya baru dapat tahu untuk buat latihan praktikal (khusus untuk pelajar BARB), kami perlu ambil subjek Intro to Applied Linguistics. Baiklah, saya belum ambil lagi. dan untuk ambil subjek ni kene ambil Intro to General Linguistics. Subjek ini saya baru daftar sem ini. Hmm.. Jadi macam mana? Lepas jumpa Dr. Majdi Hj. Ibrahim (Ra'is Qism Lughah 'Arabiyyah yg baru a.k.a pengajar dalam slot Hayya bil 'Arabiyyah di IKIM) tadi, katanya memang perlu ambil Applied dulu untuk buat practical training. Katanya lagi : "memang salah awaklah kalau tak ambil. Kami dah susun subjek tu mengikut turutan". Aiseh.. Tersenyum jelah tadi. (Memang salah saya pun ustaz, tak ambil tahu sebelum ini). Sedikit melegakan hati bila beliau kata akan berbincang mengenai hal ini dengan Qism (Department). Aiwah, tolong ya Ustaz.. Saya dah target tak nak buat short sem, nk buat praktikal. Siap dah berangan. Huhu. Janganlah hampakan saya dan kawan2. Nanti kempunan tak dapat praktikal di ITNM. Sabarlah diri, kalau dah taqdirnya kau buat praktikal di ITNM, maka kau akan dapat. Yakin! Kuuni mutayaqqinah! =)
*Pengajaran : buat perancangan study dari awal!
Mengharapkan semoga ada sinar-sinar kebahagiaan di penghujung kekecewaan. (Eh, jangan kecewa, perkara belum tentu lagi...)
Selamat Maju Jaya buat semua sahabat2 di semester baru ini. Mulakan langkah dengan teratur.
Ma'assalaamah.. =)