Ahad, Ogos 01, 2010

Ya Ilahi, Rahmati Ummiku!

Bismillahirrahmanirrahiim..

Aku baru selesai berbalas-balas SMS dengan ummi, orang paling aku sayang dalam hidup. Yang tanpa pengorbanannya, tiadalah aku di bumi ini. Jumaat baru ini, aku mencuri masa pulang ke rumah. Menjenguk insan-insan berharga dalam hidupku, setelah 3 minggu aku tinggalkan.

Namun kepulanganku cuma seketika, kerana pagi Ahad aku punya program di sekitar UIA. Lalu aku ambil keputusan untuk pulang juga petang Sabtu, kerana takut terlambat keesokan hari. Selalunya aku akan pulang Ahad petang. Hatiku jadi meronta ingin pulang setelah mendapat tahu yang ayah tidak berapa sihat, demam selsema barangkali. Agak berat hati untuk aku tinggalkan semua, terutama ummi. Kerana aku tahu bagaimana hatinya ditinggal anak-anak. Kebetulan, kami berempat (akak, angah, alang dan ateh) semuanya pulang ke rumah, memenuhi ruang kosong di rumah itu.

Tadi, usai program sebelum Asar, aku pulang ke UIA. Alhamdulillah, program selesai juga akhirnya. Selepas membersihkan diri dan membasuh pakaian, aku berhasrat untuk tidur, menghilangkan kepenatan sebentar. Entah kenapa agak payah menutup mata walau aku penat. Akhirnya ketika aku antara jaga dan lena, telefon berbunyi. Bunyi dering yang amat kukenal, Azimat Bonda oleh Far East. Kerana amat suka lagu itu, aku tetapkan sebagai nada dering untuk ummi.

Aku segera angkat, namun talian terputus. Talian di rumahku memang tidak begitu kuat. Kemudian ummi menelefon aku semula. Mungkin kerana suaraku yang tidak begitu betul, dia sedikit cemas. Bila dia tahu aku baru nak tidur, dia terus lega. Cepat pula dia ingin meletakkan gagang. Katanya akan mesej aku. Takut mengganggu aku. Dia ingin aku rehat. Talian dimatikan, dan lenaku bersambung. Agak lama, melepaskan keletihan....

Bangun dari tidur, aku segera teringatkan ummi. Tiada SMS kuterima. Hairan. Agak cemas juga, seperti ada sesuatu yg ingin dikatakan ummi. Segera aku mesej ummi, sambil bersiap-siap turun ke cafe, mengisi perut yang sudah lapar.

Mesejku berbalas, rupanya dia hanya ingin tahu bagaimana programku siang tadi. Lega hatiku. Setelah berbalas-balas SMS, di hujung mesejnya ada nada sendu. Katanya tiba-tiba sedih, setelah semua anaknya pulang. Aku di UIA, angah di USIM, alang di SMK Za'aba, dan ateh di SMRA Repah. Walaupun alang dan ateh pulang setiap minggu, baginya berlainan sedikit jika kesemuanya ada di rumah.

Aku cukup maklum itu. Ummiku. Orangnya peramah, sangat rajin mengurus rumah seawal bangun dari tidur. Di hari persekolahan, dia bangun awal untuk menyiapkan sarapan untuk ayah dan adik, walau dia sering tidur lewat kerana menyiapkan pakaian mereka. Dan setiap malam sebelum tidur, dia pasti akan minum, memanaskan badan. Kadang-kadang aku menemannya. Aku sebenarnya tidak senang melihat dia tidur lewat setiap malam. Aku ingin rehatnya cukup, setelah seharian menguruskan rumahtangga. Kadang-kadang bila aku balik bercuti, aku akan bantu menggosok baju ayah dan adik, itupun cuti semester. Begitu rutin ummi selama 22 tahun. Kadang-kadang dia terlena di kusyen sebelum tidur dalam bilik. Dia penat, aku faham.

Bila ummi menyatakan lagi kesedihannya tadi, aku balas mesejnya, memberi kata-kata semangat. Ummiku walaupun peramah dan selalu berjenaka dengan anak-anak dan ahli keluarga yang lain, dia punya hati yang sensitif. Mudah sahaja hatinya tersentuh. Di kala dia bersedih, aku akan pujuk semula. Jika dalam mesej, aku berinya kata-kata semangat. Tetapi sekali ummi berjenaka, memang aku tak boleh menahan tawa. Itulah peribadi ummi.

Aku sungguh kagum dengannya. Walau tidak dapat menyambung pelajaran selepas SPM dan bekerja, dia tidak pernah merungut apa-apa. Cukuplah baginya anak-anak menyambung cita-citanya yang terhenti itu. Dan aku sebagai yang sulung, aku menjadi harapannya, jua ayah. Berkali di sepanjang hayatku ini, kata-kata "akak penyambung hasrat ummi yang tak kesampaian" itu diucapkan. Itulah yang menjadi azimat untukku meneruskan pelajaran, kala aku rasa goyah. Aku tahu aku tak boleh mengecewakan ummi. Tak boleh menghampakan ayah. Anak sulung, kebanyakannya begitu, kan?

Umur ummi kalau mengikut perkiraan kita, masih boleh dikatakan muda. 1 Jun lalu, genap umurnya 45 tahun. Ya, dia berkahwin dengan ayah pada usia 21 tahun. Umur 22 tahun, sudah melahirkan aku. Tidak seperti umurku yang masuk 23 tahun ini, masih belajar. Selalu orang akan katakan bila aku berjalan bersama ummi : adik ke? Itu perkataan yang digemarinya, kerana dia akan merasa lebih muda. Kalau aku bersama ayah pula, orang akan kata, macam.... (aku agak, bini muda kot..huhuhu)

Katanya lagi tadi, hidup ini memang perlukan pengorbanan. Ya, itu betul. Pengorbanan dari seorang insan hebat spertinya, baginya hanya jannah lah balasan yang layak. Wanita yang duduk di rumah, menumpukan seluruh hidupnya pada anak-anak, suami dan keluarga merupakan insan unggul yang berjiwa tabah. Urusan rumahtannga bukan remeh, jika tidak masakan ramai wanita yang lebih sanggup keluar bekerja dari duduk di rumah. Wanita seperti ini, perlukan kekuatan fizikal dan mental yang lebih lagi, dari orang yang bekerja.

Oleh itu bagiku, setiap kesempatan untuk aku pulang, aku gunakan sebaiknya. Walau ada hanya sedikit masa, aku akan pulang juga. Aku rasa bersalah sebagai anak sulung jika begitu lama tidak pulang, seperti telah mengabaikan mereka.

Seringkali aku berfikir, mampukah aku menjadi seorang isteri dan ibu sebaik ummiku kelak? Aku fikir-fikir dan bandingkan diriku kini dengan ummi, amat tidak layak bergelar isteri dan ibu lagi. Tapi tiba saat itu aku selalu bersyukur, dipilih menjadi insan yang tak punya masa lapang yang banyak, malah masaku banyak diguna untuk memperbaiki diri, sebagai persiapan untuk memperbaiki orang lain. Aku tidak punya masa lapang yang lebih untuk hal ehwal lain, yang mungkin akan menghampakan ummi dan ayah. Alhamdulillah.

Ya, pengorbanan seorang ibu begitu agung. Marilah kita wahai sekalian yang bergelar anak, sama-sama berbakti dan membahagiakan mereka. Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu!

Ummi, moga Allah meramati ummi selalu..



"Lelaki ketua masyarakat, wanita ketua di rumah"


Maryam, UIAM, 12.58am, 2 Ogos 2010..